Tagged: memali RSS

  • linuxpro 10:22 pm on 22/11/2010 Permalink
    Tags: ahmad lutfi othman, islah ibrahim libya, keluarga memali, memali   

    Kenali Mohd Islah anak Ibrahim Libya.. 

    Masih lagi tentang Memali. Sementara masih panas. Ahmad Lutfi, antara penulis yang aku ikuti sejak remaja, anak Kg. Raja Tunjang dekat rumah bini aku, juga orang tunjang. Tentang Memali, dia juga ada melakarkan ceritanya bulan lepas, selepas agak sembuh daripada pembedahan jantung ketika hayat di hujung tanduk. Alhamdulillah dia sempat antaranya mencatatkan :

    November depan, genap 25 tahun Peristiwa Memali terakam kukuh dalam sejarah negara. Mungkin tiada perayaan jubli perak meraikannya namun ia tetap diingati, dari perspektif yang mungkin berbeda-beda.

    Ketika darah Ustaz Ibrahim Mahmud, atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, tumpah ke bumi bersama 13 orang anak muridnya, saya berada di tahun akhir Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

    Sebagai Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UTM, saya diminta rakan-rakan untuk meninjau lebih dekat tragedi yang ditohmahkan.. sebagai berpunca daripada “ajaran sesat” dan “melindungi penjenayah”.

    Ustaz Ibrahim yang mahu ditahan melalui ISA sama sekali tidak mengalah. Beliau menentang akta zalim itu bukan dengan memorandum atau demonstrasi, tetapi mempertaruhkan nyawanya. Dan ini merupakan satu rekod “termahal” dalam usaha menyanggah ISA, yang kini dikenali sebagai kempen “mansuh bukan pinda”.

    Nama Ustaz Ibrahim tidak asing bagi saya. Sebagai anak Kedah, saya biasa mendengar cerita tentang ketegasan dan kelantangannya. Apabila mendengar daleh Menteri Dalam Negeri, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam tentang rasional “operasi pembunuhan” itu, siang-siang lagi saya menyifatkannya satu pembohongan.

    Mana mungkin seorang ulama muda yang ikhlas menabur bakti kepada orang kampung dan menolak kesenangan berkhidmat dengan kerajaan terbabit dengan jenayah yang tidak pernah pun dibuktikan.

    Sebaik dirasakan suasana agak reda, saya segera pulang ke kampung di Kubang Pasu, mencari teman untuk Mukim Siong, Baling. Kebetulan sepupu saya pernah belajar bersama adik Ibrahim Libya, Ustaz Ismail di Kelantan.

    Dalam perjalanan, kami menempuh banyak sekatan jalan raya. Polis berada di mana-mana. Suasana agak menggerunkan, apatah lagi itulah kali pertama saya melalui jalan pintas ke Baling. Pelbagai soalan terpaksa dijawab (dan saya terpaksa memberi alasan palsu) sebelum kami dibenarkan menghampiri lokasi kejadian.

    Memali ketika itu bagai dilanggar garuda. Sunyi sepi. Rumah-rumah ditutup rapat. Hatta tiada kelihatan anak-anak bermain di halaman. Kebanyakan penghuninya ditahan.

    Kesan-kesan peluru jelas kelihatan di rumah Ustaz Ibrahim. Kami juga ditunjukkan bekas darah. Saya mengambil masa agak lama memerhatikan suasana sekitar rumah bersejarah itu.

    Di satu sudut di belakang rumah Assyahid, saya terpaku diam, cuba membayangkan tragedi berdarah itu. Tanpa sedar air mata mengalir. Sungguh pilu. Menusuk jauh ke dalam kalbu.

    Mulanya saya menjangkakan rumah yang diserang ketumbukan polis dengan bantuan kereta perisai dan helikopter itu jauh di pinggir hutan, rupanya betul-betul di tepi jalan utama. Jauh sekali daripada sangkaan bahawa Baling masih dikepung komunis..

    ..Saya diminta menyiapkan satu makalah khas tentang Memali, yang kemudiannya diberi tajuk Percikan Darah Syuhada. Ibrahim Libya tergolong bersama rentetan nama para syuhada.

    Bersama Aris saya bermalam di sana, dan sempat beramah mesra dengan warga Memali, antara lain dengan “penjenayah yang cukup dikehendaki”, seperti didakwa Musa Hitam. Peliknya beliau tidak pula ditangkap dan didakwa di mahkamah.

    Sejurus balik ke Kuala Lumpur dan berjaya menyiapkan makalah berkenaan, satu tangkapan borong besar-besaran di bawah ISA dilakukan pada penghujung Oktober 1987, Operasi Lalang..

    ..Memali kembali dekat apabila saya diperkenalkan dengan Ustaz Ismail, adik Assyahid bagi merawat “penyakit misteri” saya pada tahun 2001. Beliau mudah diajak berbual. Antara topiknya adalah peristiwa berdarah itu juga. Selain “berubat”, Ustaz Ismail merupakan teman bercerita.

    Kami kerap berbicara soal Memali, suka dan duka, tetapi lebih banyak kisah sedih yang terungkap. Beliau yang meninggal dunia secara tiba-tiba pada Februari 2009, selalu juga menyebut nama anak sulung Ibrahim Libya, Mohd Islah, yang kebetulan tinggal di sekitar Sungai Buloh, tidak begitu jauh dengan rumahnya di Kuang.

    Sehinggalah pada minggu lepas, ketika bekas tahanan ISA, Cikgu Zainon Ismail (CN Al-Afghani – saya pernah menerbitkan beberapa bukunya mengenai pengalaman beliau di Afghanistan) menziarahi saya.. mewakili keluarga yang memerlukan di Memali, nama waris Assyahid Ibrahim Libya muncul kembali.

    Cikgu Non.. memberitahu, Islah kini menjadi mudir di sebuah tahfiz dekat Kubu Gajah, Sg Buloh.


    Pagi itu, 30 Ogos, saya cukup gembira dapat bertemu wajah anak sulung Assyahid bersama Saleha Husin. Lot 1855, Jalan Gajah 24 itu cukup nyaman dan tenang. Sesuai sekali untuk pelajar tahfiz. Kawasannya pula luas, 2 ekar. Islah ceria bercerita tentang impian membesarkan lagi Maahad Tahfiz At-Taqwa yang diasaskan seorang usahawan.

    Saya lebih teruja apabila dimaklumkan cawangannya akan dibuka di Memali sendiri. Bagi saya, waris Ibrahim Libya perlu meneruskan tradisi di kampung bersejarah itu. Sekurang-kurangnya Memali akan dikenali sebagai pusat keilmuan yang dihormati, dan saya kira itu juga satu impian Assyahid.

    Islah ketika bapanya gugur syahid berumur 9 tahun, belajar di Dehrang, Kedah, sebuah pusat pengajian Islam di bawah Ustaz Nikmat Yusof. Detik-detik getir 25 tahun lalu masih kejap dalam ingatannya, terutama bagaimana beliau “dilarikan” ke Kelantan.

    Harapan saya mahu membaca satu catatan daripada Islah sendiri tentang kembara hidup bersama empat lagi adik-adiknya, Mohd Ihsan, Mohd Irsyad Zamani, Niswah Hasina dan Nurul Syuhada.

    Sumbangan untuk Maahad Tahfiz At-Taqwa boleh disalurkan ke dalam akaun Maybank 562085515936 atas nama Ehsani Enterprise.

     
  • linuxpro 9:36 pm on 19/11/2010 Permalink
    Tags: akta keselamatan dalam negeri, baling, ibrahim libya, isa, memali, operasi angkara, operasi hapus, parit panjang, peristiwa baling, peristiwa memali   

    Garis-garis pemisah aku dalam Tragedi Berdarah Memali 

    Hari ni 19 November. Hari ni hari dalam sejarah. 25 tahun lepas aku masih ingat, aku darjah 5. Hari tu hari aku berkhatan. Orang Kedah panggil masuk jawi. Aku ingat. Tapi aku lebih ingat satu lagi peristiwa sejarah pada hari tu. Peristiwa hitam negara. Tragedi Berdarah Memali. Ya, 25 tahun lalu peristiwa berdarah itu berlaku, hari itu juga sejarah luka bagi aku. Hari itu selepas disunatkan aku menonton televisyen. Aku melihat RTM masa tu menayang dan mengkisahkan operasi membasmi pengganas komunis. Masa tu mana la aku tahu apa itu komunis. Yang aku tau bisik-bisik orang kampung komunis tu jahat. Lepas beberapa hari tajuk ditukar kepada pembasmian ajaran sesat. Kemudian keluar pula tajuk operasi menangkap dan menghapuskan penjenayah. Fuhh! Tahun 1985 di kampung pun ada penjenayah besar negara!

    Itu dulu. Masa berubah. Bila aku masuk di sekolah menengah, aku mula banyak membaca dan berbicara. Kemudian baru aku mengenali hakikat Operasi Angkara atau Operasi Hapus melibatkan lebih 3600 anggota kerahan itu. Hasilnya pandangan aku tentang peristiwa Memali berubah 180%. Sumber cerita perihal Memali mula mendapat perhatian aku. Pernah satu tahun masa aku tingkatan 1, seminggu aku berkampung di pondok ustaz Wahab Parit Panjang, bumi di mana jasad mereka di bawahnya.

    Ustaz dan 13 anak muridnya yang dibunuh itu digelar ‘bughah’ dalam media. Bila dah sekolah tinggi baru aku tahu apa maksud ‘bughah’ (penderhaka). Tapi aku pelik macam mana lak mereka dikatakan penderhaka sebab beberapa tahun lepas peristiwa tu, Sultan Kedah sendiri mencemar duli menziarah perkuburan Memali di Parit Panjang dan menjirus pula bunga mawar di pusara. Setahu aku, sampai sekarang mana ada raja-raja Melayu yang sudi menziarah makam Jebat, si penderhaka itu. Suami sepupu aku, bekas tentera menceritakan pada awal pagi hari tu kumpulan dia diberi taklimat kononnya untuk mengempur kumpulan komunis yang berkubu di situ. Tuihhh… kelentong betul!

    Bila aku masuk universiti, aku berkawan pula dengan anak salah seorang penduduk yang terbunuh. Cerita dia terus meneguhkan pandangan baru aku. Rupa-rupanya ini semua cerita tentang ISA. Ada manusia yang rela ditahan ISA tanpa bicara. Tapi tidak semua. Ada manusia bernama Ibrahim Mahmud a.k.a Ibrahim Libya yang tidak mahu ditahan ISA. Tangkap dakwa boleh, tapi jangan tangkap tanpa bicara. Seorang rakan dari Terengganu memberi aku satu kaset asal ceramah Ibrahim Libya. Dia sebut dengan ISA kerajaan boleh ambil jasad dia, tapi jasad tu tanpa nyawa. Sayang kaset itu hilang dicuri mat ganja di Puduraya, seminggu selepas aku balik ke Malaysia.

    Bila tamat belajar, aku banyak terdedah dengan hakikat sebenar Tragedi Berdarah Memali. Kuliah Allahyarham ustaz Ismail Mahmud (adik Ibrahim Libya) aku ikut. Penerangan Pak Chop, orang kanan Ibrahim Libya aku dengar. Buku cikgu Non aku hadam. Perbahasan 4 jam di Parlimen tahun 2002 tentang Memali aku ulang tayang VCDnya (sekarang dah ada di youtube). Lantas Kertas Putih Parlimen 25 tahun lepas tentang peristiwa itu aku persetankan. Bagi aku, hakikat peristiwa ini memang mahu digelapkan.

    Mudahnya, kenapa setelah berpuluh-puluh tahun berlalu, kes saman balu mangsa belum pernah dibicarakan secara penuh di mahkamah. Banyak kes mahkamah tak sampai setahun dah selesai. Kes peristiwa Bukit Sauk 10 tahun lepas selesai dalam sebulan saja. Kenapa kes Memali acapkali ditangguh. Dilambat-lambatkan. Bukan setakat saksi-saksi utama dah tiada, hakim dan lawyer asal pun dah lama jadi arwah. Sebab tu la akhirnya balu-balu peristiwa Memali bersetuju selesaikan kes ni di luar mahkamah dengan kerajaan Malaysia membayar pampasan RM20,000.00 seorang kepada waris 14 orang yang dibunuh itu. Walaupun selesai di dunia, di akhirat tetap dituntut.

    Aku bersetuju dengan mantik, harimau di Afrika pun kalau nak tangkap guna peluru pelali. Ni manusia. Kenapa guna peluru hidup kalau bukan tujuan untuk membunuh. Adakah ulama seperti Ibrahim Libya lebih hina daripada seekor harimau Afrika! Inilah akibatnya jika kita berhujah dengan peluru.

    Aku sebenarnya jarang menitiskan air mata. Tapi Tragedi Berdarah Memali aku tidak terlawan, ya saban tahun pada tanggal 19 November. Aku menulis ni pun cepat-cepat. Jap lagi nak berkemas. Lusa kereta aku mungkin akan meluncur laju ke bumi syuhada.

     
c
compose new post
j
next post/next comment
k
previous post/previous comment
r
reply
e
edit
o
show/hide comments
t
go to top
l
go to login
h
show/hide help
esc
cancel