Tagged: dakwah online RSS

  • linuxpro 2:17 pm on 12/01/2012 Permalink
    Tags: dakwah islam, dakwah online, Giatkan Dakwah Secara Maya   

    Artikelku dalam akhbar : Giatkan Dakwah Secara Maya 

    Giatkan Dakwah Secara Maya
    OLEH : NAJAHUDIN BIN LATEH

    Dakwah adalah usaha membawa manusia kepada agama Allah. Ia meliputi proses menyampai, mengajak atau menyeru manusia mengenali, menerima dan menghayati Islam yang dilaksanakan melalui kaedah, teknik dan pendekatan tertentu.

    Galakan untuk berdakwah terbuka kepada seluruh umat Islam seperti sabda Rasulullah SAW : Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat dan ceritakanlah riwayat daripada Bani Israel dan sesiapa mendustai aku dengan sengaja, disediakan tempat baginya daripada api neraka. (riwayat al-Bukhari)

    Kegiatan dakwah boleh diaplikasikan dalam pelbagai bentuk. Islam juga tidak menghadkan para pendakwah untuk menggunakan medium tertentu dalam proses dakwah. Malah, mereka digalakkan menggunakan medium terbaik mengikut kesesuaian zaman dan keberkesanan dakwah kepada sasarannya.

    Dunia langit terbuka atau globalisasi menyebabkan manusia semakin dekat antara satu sama lain. Ini menyebabkan akses kepada segala informasi sangat mudah diperolehi. Persoalan dan ilmu agama yang secara konvensional biasanya diperolehi di sekolah, surau atau masjid kini menjadi sangat mudah dikutip melalui internet. Justeru, kemunculan laman web, blog atau pelbagai bentuk perantaraan maya berbentuk dakwah Islam adalah suatu yang dialu-alukan bagi mereka dan semua pelayar internet.

    Dakwah secara maya (online) merupakan kaedah dakwah secara tidak langsung, iaitu pendakwah tidak bertemu secara fizikal dengan sasaran dakwah. Dakwah ini biasanya berlaku melalui internet ataupun komunikasi lain seperti telefon bimbit.

    Dakwah maya tidak mensyaratkan seorang pendakwah tersebut mahir dalam komunikasi atau mempunyai ilmu Islam yang banyak. Malah, sesiapa sahaja boleh menjadi pendakwah. Yang penting dalam dakwah maya adalah bahan dakwah bukannya siapa yang menyiarkannya. Ini bererti dakwah bukanlah kerja eksklusif ustaz serta ulamak sahaja, namun mestilah wujud dalam sanubari setiap individu Muslim.

    Pendakwah maya biasanya terdiri daripada dua kumpulan, iaitu external dan internal. Pendakwah External ialah mereka yang terlibat menyebarkan bahan tentang Islam yang diambil melalui pelbagai sumber ke dalam laman web mereka atau laman web orang lain. Pendakwah Internal pula ialah mereka yang benar-benar mempunyai ciri pendakwah yang terdapat dalam ilmu dakwah Islam dan mereka biasanya mempunyai laman web sendiri dan boleh berinteraksi dengan orang ramai (mad’u).

    Dakwah ini merupakan medium baru yang sangat berkesan. Tugasan dakwahnya dijalankan selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun. Banyak kelebihan lain yang boleh dimanfaatkan terutamanya untuk menarik perhatian golongan sasar seperti orang muda dan masyarakat dunia. Aplikasi internet seperti laman web, portal, blog, emel, SMS internet, borak siber dan sebagainya boleh digunakan untuk berdakwah di samping menangkis anasir buruk yang disasarkan kepada Islam. Kewujudan domain dakwah dalam aplikasi ini oleh para tekno-daie secara langsung dapat menyebarkan Islam seantero dunia.

    Dakwah melalui internet diakui mempunyai sasaran yang lebih luas. Internet selaku perpustakaan terbesar dunia sendiri boleh bertindak mencari jawapan kepada persoalan pelayarnya. Informasinya sampai kepada audien dengan lebih pantas dan interaksi dua hala tidak terganggu dengan sifat pemalu atau takut.

    Ia tidak terbatas kepada ruang dan waktu, tetapi terbuka untuk diakses oleh sesiapa sahaja. Peluang yang disediakan adalah setiap saat tanpa mengira lokasi atau memilih siapa. Hakikat ini sepatutnya direbut dan digunakan oleh pendakwah kita semaksima mungkin. Malah, kita boleh mengikuti perkembangan dakwah di dunia luar di samping bertukar-tukar pendapat serta pengalaman dengan pendakwah dan ahli ilmu lain.

    Terdapat pelbagai aplikasi yang boleh digunakan dalam dakwah secara maya melalui internet. Antara yang popular adalah melalui laman web, emel (seperti Yahoo! Mail dan Gmail), chatting (seperti Yahoo! Messenger dan Skype), group discussion (seperti Yahoogroups dan Googlegroups) dan laman hubungan sosial seperti facebook dan twitter.

    Selain itu, dakwah juga boleh disampaikan melalui sistem audio video internet. Bahan ceramah, kuliah atau simulasi Islam boleh dikongsi dan disalurkan ke seluruh dunia secara audio atau video. Webtv sebagai contohnya begitu popular di kalangan remaja sekarang. Laman webtv seperti youtube.com, metacafe.com dan video.google.com sangat mudah digunakan dan yang penting ia boleh digunakan secara percuma.

    Laman web analisa trafik rank, alexa.com menyenaraikan nama domain laman web di Malaysia yang paling ramai dikunjungi adalah facebook.com, kemudian diikuti dengan google.com.my, youtube.com, google.com, blogspot.com, yahoo.com, blogger.com, wikipedia.org dan twitter.com.

    Malah, senarai nama domain popular ini juga membuktikan ramai rakyat Malaysia melayari laman web berbentuk portal (seperti google.com dan yahoo.com yang biasanya digunakan untuk search engine) dan berbentuk jaringan sosial (seperti facebook.com dan blogspot.com yang biasanya digunakan sebagai weblog).

    Laman web jaringan sosial, terutama yang menawarkan sistem weblog, borak siber atau perkongsian video, fail atau gambar merupakan bentuk laman web yang begitu disukai oleh rakyat Malaysia. Daripada 50 laman web popular, 10 laman web jaringan sosial mengisi traffic rank utama di Malaysia seperti jadual di sebelah :

    Selain di Malaysia, senarai kedudukan tersebut membuktikan laman web berbentuk jaringan sosial juga popular di seluruh dunia. Ini mungkin boleh dijadikan suatu panduan kepada pendakwah untuk memilih bentuk laman web yang disukai oleh orang ramai dalam menyalurkan bahan-bahan dakwah.

    Oleh itu, perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian untuk mewujud dan menggiatkan usaha dakwah secara maya di internet :
    ? Semua pendakwah Islam mempunyai laman web atau weblog sendiri (sekurang-kurangnya facebook) yang beroperasi secara aktif, menarik dan mudah diakses serta mempunyai pautan dengan laman web bermanfaat lain (dakwah sharing).
    ? Semua institusi dakwah Islam mesti sentiasa kemas kini dengan informasi dan interaksi kepada isu Islam semasa.
    ? Laman web institusi berautoriti dan mempunyai dana seperti JAKIM (islam.gov.my) beroperasi dengan staf tetap yang ramai dan dikemaskini setiap jam.
    ? Laman web dakwah mempunyai proses SEO (Search Engine Optimization) sebagai agen pemasaran dengan meta tag Islam untuk dikenali oleh enjin carian.
    ? Laman web dakwah dilengkapkan dengan fungsi RSS (Really Simple Syndication atau Rich Site Summary) yang menjadi perantara bagi menyebarkan kandungan terkini laman web kita kepada pelayar internet yang melanggannya.

    Kesimpulannya, dakwah melalui internet dan secara maya mempunyai potensi yang besar. Seharusnya semua pendakwah Islam mempunyai laman web atau weblog sendiri yang beroperasi secara aktif dan sentiasa dikemas kini. Isu-isu dan persoalan ummah kontemporari hendaklah dijawab serta digarap secepat mungkin melalui medium ini. Jika ini dilakukan secara giat dan tersusun, nescaya aktiviti dakwah semakin efisien dan meluas ke antero dunia.

    Artikel ini terbit dalam akhbar Utusan, 12 Januari 2012 dan boleh juga dicapai di edisi online.

     
  • linuxpro 10:14 pm on 07/11/2010 Permalink
    Tags: dakwah online, , kajian, trafik rank,   

    Traffic website di Malaysia dan lebihnya Mark Zuckerberg 

    facebookTahun lepas atau lebih tepatnya 21 Jun 2009 aku pernah bentang satu paper dalam satu seminar di UiTM Sarawak bertajuk Dakwah Online dan Kajian Awal ke Arah Ensiklopedia Domainnya dalam Bahasa Melayu. Paper itu mengandungi penelitian terhadap sambutan pengunjung terhadap laman web berdasarkan kedudukan rangkingnya di Malaysia dan dunia. Analisa dibuat dengan menggunakan kemudahan laman web alexa.com, iaitu sebuah laman web analisa trafik rank sesebuah laman web.

    Bila aku melihat eleman sambutan masyarakat di Malaysia dan di dunia terhadap laman web social networking, terbukti mendapat sambutan hangat. Memang hot. Aku menulis,

    Laman web jaringan sosial, terutama yang menawarkan sistem weblog merupakan bentuk laman web yang begitu disukai oleh rakyat Malaysia. Daripada 100 laman web popular, 10 laman web jaringan sosial mengisi traffic rank utama di Malaysia seperti Jadual 1 berikut :

    Jadual 1 : Traffic Rank Laman Web Jaringan Sosial di Malaysia dan Dunia
    Bil. Web Jaringan Sosial Traffic Rank (Malaysia) Traffic Rank (Dunia)
    1. Facebook 3 4
    2. Blogger 6 8
    3. Friendster 8 91
    4. Myspace 11 11
    5. Tagged 12 93
    6. WordPress 16 21
    7. Twitter 41 19
    8. LiveJournal 50 89
    9. Multiply 85 193
    10. Ning 90 162

    Dalam paper tu juga aku menulis,

    Di Malaysia, nama domain laman web yang paling ramai dikunjungi adalah yahoo.com, kemudian diikuti dengan google.com.my (2), facebook.com (3), youtube.com (4), google.com (5), blogger.com (6), live.com (7) dan friendster.com (8). Semua laman web ini adalah daripada antarabangsa.

    Itu dulu. Semua data di atas adalah data lama. Aku ambil pada 12 Julai 2009. Semalam aku telah buat kajian semula dan terbukti laman web social networking terus mendapat sambutan. Malah, laman facebook telah berjaya merampas kedudukan laman carian yahoo! dan google sebagai pendahulu liga. Kedudukan Top 10 kini seperti berikut : (1) facebook.com, (2) google.com.my, (3) google.com, (4) yahoo.com, (5) youtube.com, (6) blogspot.com, (7) wikipedia.org, (8) live.com, (9) Maybank2u.com dan (10) Mudah.my.

    List ni sentiasa berubah. Anda boleh lihat di sini. Point aku di sini :
    (1) Search engine masih menjadi sumber pencarian maklumat dengan dikepalai oleh lebai Google, yahoo dan live.com (live.com masuk dalam senarai mungkin kerana peranan Windows yang meletakkannya sebagai defult screen komputernya);
    (2) Trend internet sudah dibudayakan dan agak membanggakan laman web tempatan sudah melonjak naik. Trend ini diwakili oleh youtube.com (video), wikipedia.com (ensklopedia), maybank2u.com (perbankan) dan mudah.my (pengiklanan) serta malaysiakini.com dan thestar.com.my (akhbar); dan
    (3) Fenomena facebook sudah menengelamkan kebanyakan social networking lain seperti blogspot (blogger.com), friendster dan myspace yang pernah menjadi idola remaja suatu ketika dulu.

    Di Malaysia kini, memiliki akaun facebook bagi anak muda adalah suatu kemestian. Tiada al-Quran di rumah tidak pelik. Tidak pernah membaca hadith tidak pelik. Tidak amal sunnah Nabi SAW tidak pelik. Tapi, pelik bin ajaib kalau anak muda kita tiada akaun facebook. Lagi pelik jika tidak pernah membaca facebook. Itulah lebihnya Mark Elliot Zuckerberg. [Nanti lain kali kita ceritakan kuasa FB dan fun pagenya yer]

     
c
compose new post
j
next post/next comment
k
previous post/previous comment
r
reply
e
edit
o
show/hide comments
t
go to top
l
go to login
h
show/hide help
esc
cancel