Sepetang bersama Dr. Wahbah al-Zuhaily berkisah tentang sumpah dan qazaf

Semalam, Sabtu aku ada beberapa program dari pagi hingga ke malam. Salah satunya program jam 2.30 hingga 4.00 petang. Program ceramah bersama Dr. Wahbah al-Zuhaily, seorang tokoh ulama besar kontemporari. Sambutan orang ramai cukup hebat. Seingat aku, kali terakhir orang seramai itu menadah dagu bersama ulamak amilin antarabangsa adalah tahun lepas, bersama Dr. Yusof al-Qaradawy. Sejam bersama mereka terasa amat singkat.

Mengenali Dr. Wahbah terasa sangat bertuah. Buku-bukunya adalah sumber primer bagi kebanyakan ilmuan Islam. Bahasanya adalah padat, teliti dan kontemporari. Karyanya melebihi 30 buah. Ketika ramai orang banyak terjasa dengan karya agungnya, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (yang telah diterjemahkan di Malaysia menjadi Fiqh Perundangan Islam), aku cukup teruja dengan kitab Muamalah al-Maliah al-Muasirah (Transaksi Kewangan Kontemporari). Malah, amanahnya sebagai pakar di Majma’ Fiqh al-Islami Sedunia banyak membantu ummah dalam segenap keilmuan.

Ceramah petang itu bertajuk ‘ Sumpah dan Qazaf’, sinonim dengan isu Malaysia hari ni. Sebenarnya ceramah beliau petang Sabtu itu adalah kali ketiga berturut-turut, selepas di Melaka dan UNISEL, kedua-duanya sempena Sambutan 40 tahun ABIM. Dr. Wahbah memulakan ceramah yang diterjemahan oleh guru kami, Dr. Zulkifli al-Bakri dengan menceritakan kisah 3 tuduhan dan sumpah dalam sejarah Islam. Pertama, hadith al-Ifki (melibatkan Aisyah RA yang tertinggal rombongan Rasulullah SAW dibawa pula oleh Shafwan Mu’aththal hingga menimbulkan fitnah oleh Abdullah Ubay dan gengnya), kedua, kisah mubahalah Kristian Najran dalam hadith yang menjadi asbab nuzul bagi ayat 61 surah al-Imran dan ketiga, tentang kisah suami yang menuduh isterinya berzina kedua-duanya akan melalui proses li’an yang disebut dalam surah al-Nur ayat 6.

Butiran Dr. Wahbah kemudian cukup jelas, setiap tuduhan zina hendaklah dengan 4 saksi yang adil. Lelaki ahli maksiat (contohnya boleh bersama ‘sebilik’) bukan seorang yang adil. Jika tidak, si penuduh adalah seorang yang fasik, munafik dan penipu. Si penuduh wajib dikenakan hukuman qazaf (menuduh orang berzina tanpa saksi syarie). Nasihat beliau, ‘Jangan mudah bermubahalah (bersumpah). Mubahalah dan mulaanah (majlis laknat) hanya diterima daripada orang yang adil. Tidak diterima saksi daripada seorang yang tidak adil dan fasik.’ Rujuk surah al-Nur ayat 4.

Sesi kemudian diisi dengan soal-jawab. Banyak-banyak, aku cukup tertarik dengan jawapan salah sesi soalan. Soalan seorang hadirin secara terus terang, apa pandangan tuan guru tentang penggunaan video seks mendakwa Anwar Ibrahim. Dengan suara paling lantang petang semalam, jawapan Dr. Wahbah, ‘Itu adalah syariat syaitan, bukan syariat Allah. Syariah Allah adalah penyelesaiannya, syariat syaitan patut diletak di bawah tapak kaki!’.