Pengurusan Jenazah : Dari Saat Nazak Hingga Ke Liang Lahad

Suatu isu yang membentuk perselisihan umat Islam adalah apabila berlaku saat kematian. Dari tika nazak hinggalah selepas diliang lahadkan, semuanya ada adat dan amalan tertentu. Biasanya orang awam hanya mengikut taklid sahaja. Orang yang ‘terlebih’ belajar pula sering kali membid’ahkan. Akhirnya ramai yang keliru. Ramai pula yang ‘bertombak lembing’.

Ironinya, tiga minggu lepas aku telah diminta untuk membimbing Kursus Praktikal Pengurusan Jenazah. Kali ni di tempat aku sendiri. Di surau Alam Budiman. Bila di kandang sendiri aku perlu mengambil peluang untuk berkongsi pengurusan jenazah secara sunnah. Lantas, disebati di budaya di dalam taman. Rujukan utamanya pasti hadith Nabi SAW. Aku beritahu awal, aku akan fokuskan perbincangan tanpa melihat kepada kebiasaan yang dilakukan oleh kita. Yang betul, yang agak betul, yang hampir-hampir nak betul kita terima. Yang kurang kita baiki. Yang dilarang qat’ie kita buang.

Masa sibuk aku kemudiannya diselitkan juga sedikit masa untuk meneliti hujah-hujah hadith dan pandangan ulamak berkaitan Ahkam Jenazah. Sumber banyak, tapi masa yang ada tidak sempat untuk menghasilkan kertas kerja yang benar-benar konkrit. Akhirnya beberapa sumber sekunder juga dirujuk. Beberapa buah dijadikan rujukan utama seperti Subul al-Salam San’ani syarah Bulugh al-Maram, Manhaj Muslim al-Jaza’iri, Bahrul Mazi buku jawi Idris Marbawi dan tentunya sebagai imbangan Ahkam Janaiz Albani. Akhirnya siapalah kertas kerja ringkas 20 halaman, “Fiqh Jenazah : Dari Saat Nazak Hingga Ke Liang Lahad”. Insya Allah kertas kerja itu akan dimurnikan untuk dijadikan sebuah buku.

Lapan fokus utama dihuraikan secara noktah pendek :
1. Perkara yang dilakukan ke atas orang nazak
2. Perkara dilakukan apabila orang meninggal dunia
3. Prosedur pentadbiran dan undang-undang berkaitan jenazah
4. Teknik memotong kain kafan, kapas, tali ikatan, sarung tangan, sugi dll
5. Perkara dilakukan ketika memandikan jenazah
6. Perkara dilakukan ketika mengkafan jenazah
7. Perkara dilakukan ketika solat jenazah
8. Perkara dilakukan ketika pengkebumian jenazah

Fokus ini dibentangkan dengan menggunakan empat kaedah, iaitu perbentangan kertas kerja, soal-jawab, tayangan video dan amali praktikal. Atas faktor masa, amali praktikal hanya menjurus kepada memandi dan mengkafankan sahaja. Programnya berlangsung semalam, Ahad. Alhamdulillah, sambutan jiran aku terhadap program mengingatkan mati ini cukup hebat. Walaupun pihak surau hanya mensasar dan menyediakan jamuan hanya kepada 50 orang, namun kehadirannya mencecah 100 orang. Hampir 50 peratus pula adalah kaum hawa. Yang tak hadir tapi teringin nak ingat mati, anda boleh tengok video di bawah ni berkaitan mandi dan kafan yang juga ditayangkan di surau semalam. Mudah-mudah, boleh lepas gian anda nak tengok wajah awal alam kubur. [Mungkin ambil masa untuk loading, terutama line beruq bond]

Memandikan Jenazah



Mengkafankan Jenazah