Pasca Mubarak, jom kenali Dr. Essam El Erian

Siapa Dr. Essam El Erian? Akademiknya melambangkan batang tubuh setiap pimpinan Ikhwan al-Muslimin, gerakan Islam yang diharamkan lebih setengah kurun di Mesir. Seorang ahli Pathologi MSc Clinical Pathology dari Cairo University dan juga BA Undang-undang, berdaftar di Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti al-Azhar. Beliau seorang yang kental, terbuka, dinamik dan mesra pelanggan. Sebab itu, Dr. Essam sejak dulu adalah jurucakap dan wakil bagi Ikhwan.

Banyak kehebatan sejarah perjuangannya yang tersenarai. Salah satunya yang hebat adalah kawan-kawannya tidak dapat membilang berapa kali ditahan dan dipenjara di bawah rejim Hosni Mubarak. Banyak kali sangat tinggal di sebalik jeriji penjara. Hidup lama di dalam lebih kurang lama di luar. Hampir 10 tahun dalam sel kalau dicampur semua tempoh tahanannya. Penjaranya yang pertama ketika berumur 20-an pada zaman Anwar Sadat, Presiden Mesir sebelum Mubarak.

Walaupun seorang yang sederhana dan bertoleransi, namun mungkin beliau seorang jurucakap media dan kolumis Ikhwan zaman Mubarak, dia ditahan banyak kali dan biasanya sebelum sesuatu pilihanraya diadakan. Yang hebatnya juga, kalau tidak ditahan, beliau akan menang dalam pilihanraya. Bagi Mubarak, lebih baik tinggal dalam jel daripada ganggunya di parlimen. Sebab itu Dr. Essam yang juga Ketua Biro Politik Ikhwan pernah menjadi ahli parlimen muda tahun 1984 dan 1987. Dia pernah ditahan dan dipenjara tahun 1978, 1981, 1985, 1995, 2002, 2005, 2006, 2007 dan yang terakhir hujung tahun lepas sebelum pilihanraya yang Mubarak menang dengan undi 99 peratus!! Hukuman Januari 1995 paling lama dan paling keras, diadili di Mahkamah Tentera (kali pertama orang awam diadili selepas 1965) atas tuduhan ingin mengubah perlembagaan, beliau dijatuhkan hukuman lima tahun dalam jel dengan kerja berat sebelum dibebaskan Januari 2000.

61 tahun Ikhwan ingin ditamatkan riwayatnya. Ikhwan diharamkan. Penangkapan, penyeksaan, pembunuhan adalah wirid ke atas anggota Ikhwan. Allah Maha Agung. Kini, Mubarak sudah pergi tapi Ikhwan tetap steady. Hidup dan terus berkembang sampai saat ini. Terima kasih kepada Hassan al-Banna dan 6 orang sahabatnya, pendiri jamaah ini. Juga kepada 7 mursyidnya yang lalu. Pimpinan sekarang terus thabat dan insya Allah boleh mengisi ruang politik Mesir yang ditinggalkan. Antara mereka adalah potensi yang ada pada Dr. Essam El Erian.