Menyambung cerita rahsia McDonald di Puncak Alam

Lokasi lokasi lokasi adalah zikir utama pemain hartanah. Lokasi yang strategik contohnya menjamin aliran tunai yang baik bagi seorang tuan rumah sewa. Anda tentu tidak mahu membeli rumah atau membuka Plant Nursery di Bukit Beruntung atau Serendah bukan! Walaupun anda tahu di situ rumah lelong murah berharga RM2K pun ada dan banyak pula kawasan hijau. Sebabnya, lokasi lokasi lokasi. Justeru, bila aku petik cerita Robert Kiyosaki dalam buku bestsellernya, ‘Rich Dad, Poor Dad’ dalam posting aku sebelum ni, aku sebenarnya nak cerita tentang lokasi Puncak Alam. Aku petik cerita buku tu begini terjemahannya :

Pada tahun 1974, Ray Kroc, pengasas (syarikat) McDonald’s, diminta untuk bercakap dalam kelas MBA di University of Texas di Austin. Seorang teman baik saya, Keith Cunningham, adalah seorang mahasiswa dalam kelas MBA (itu). Setelah berbicara dengan hebat dan berinspiratif, kelas ditangguhkan dan pelajar bertanya Ray jika beliau hendak minum bersama di tempat lepak kegemaran mereka. Ray setuju.
“Apa perniagaan saya?” Ray bertanya selepas mereka semua memegang minuman masing-masing.
“Semua orang ketawa,” kata Keith. “Sebahagian besar mahasiswa MBA menyangka Ray hanya main-main.”
Tidak ada yang menjawab, hingga Ray bertanya soalan lagi. “Perniagaan apa yang anda pikir aku jalankan?”
Para mahasiswa tertawa lagi, dan akhirnya salah seorang berani berkata, “Ray, siapa di dunia yang tidak tahu bahawa anda dalam perniagaan hamburger.”
Ray tergelak. “Itulah yang saya fikir anda akan katakan.” Dia berhenti sejenak kemudian lantas berkata, ‘Puan dan tuan-tuan, saya bukan dalam perniagaan hamburger. Perniagaan saya adalah hartanah.”

Kaitannya dengan Puncak Alam begini, bulan Oktober tahun lepas, McDonald telah membuka cawangannya di tepi jalan utama Puncak Alam. Bila McDonald dibuka, itu tandanya kawasan itu memang berpotensi. Sebabnya, bisnes McDonald adalah hartanah. Sebelum satu-satu McDonald dibuka, mereka telah buat kajian lokasi, sebabnya ini memang bisnes mereka dan ‘bukannya hamburger’. Anda tentu tidak bertemu McDonald di atas Gunung Kinabalu bukan. Tentulah Puncak Alam tu ada sesuatu yang menarik unit khas kajian mereka. Setelah 4 bulan, hari ni ternyata telahan itu benar. Kajian mereka memang tepat.

Sebelum tu, anda tentu mendapat gambaran tentang perumahan di Puncak Alam. Projek gajah putih, rumah banyak dilelong, ramai tidak diami dan bagai-bagai lagi. Namun, ia berubah serta-merta sejak UiTM Puncak Alam dibuka sesi semester Januari 2010. Itupun baru fasa 1 yang melibatkan tiga fakulti – belum dikira fasa 2 melibatkan 7 fakulti dan kemungkinan sebuah hospital perantis. Puncak Alam kemudian terus meletop bila McDonald dibuka. Tanyalah kaki lelong di Megan Avenue II tu, kalau dulu lelong RM30K tingkat bawah pun takdak orang sudi masuk, tapi sekarang RM60K tingkat atas pun dah biasa seronoknya para agen menerima pelanggan. ‘Lombong emas’, kata seorang ulat lelong pada aku.

Sebenarnya aku nak cerita benda lain. Semalam ada seorang dan pagi tadi ada dua orang telefon aku. No hp aku depa kebas daripada web rumahpuncakalam.com. Semua tanya tentang rumah yang nak dibeli di Puncak Alam. Aku rasa diorang ni dah tahu tentang rahsia baru di sana. Ada kaitan dengan peluang. Peluang yang aku nak bocorkan, khasnya untuk pelabur hartanah. Begini, pagi Khamis lepas semua staf UiTM ada program khas, Amanat Tahun Baru boss kami. Hujung taklimat tu, kami ditontonkan dengan 2 projek baru UiTM. Projek mega, salah satunya di Puncak Alam. Satu lagi aku cerita lain kali di mana lokasinya, yang pasti sekitar Shah Alam.

Projek di Puncak Alam ni dinamakan ‘UiTM Puncak Alam Commercial & Hostel”. Sekarang korang jangan tanya lebai Google la, memang tak ada sebab projek ni belum tebuk bumi lagi. Projek ni ada dua fasa. Fasa satu merangkumi pembinaan 5 blok hostel pelajar dengan dikelilingi kawasan tasik dan rekreasi. Fasa dua melibatkan pembinaan kawasan blok perniagaan bertingkat, hotel dan beberapa infrastruktur lagi. Projek ni dilaksanakan secara private sector investment. Soalnya, bagaimana peluang untuk otai hartanah? Korang jangan kata nak tangkap projek tu atau cuba-cuba nak jadi sub-con. Tak payah. Buat buang karan je. Tengok skop lain la. Skop tu ada, nanti kita cerita lain kali.