Mengenali perawi hadith yang al-Muttafiq dan al-Muftarik, al-Mu’talif dan al-Mukhtalif dan al-Mutasyabih

Perawi hadith sangat ramai. Seringkali berlaku kesilapan dalam mengenali mereka. Kesilapan berlaku sama ada tersalah orang, bertukar orang, bertukar huruf, titik huruf, baris dan sebagainya. Ini kerana di kalangan perawi ramai yang mempunyai nama yang sama, nama bapa dan datuk yang sama, kunniyah atau laqab yang sama dan sebagainya. Ada pula perawi yang mempunyai ejaan yang sama tetapi sebutkan barisnya adalah berlainan. Kadang-kadang pengumpul hadith hanya mencatatkan nama samaran perawi sahaja dan ini menyukarkan bagi orang awam untuk mengenalinya.

Sedikit kesilapan dalam membuat proses pengecaman perawi boleh mendatangkan musibah yang besar, terutama dari aspek al-Jarh wa al-Ta’dil. Sebagai contohnya, terdapat nama dua perawi yang serupa tetapi seorang siqah dan seorang lagi daif. Kesilapan mengecam seorang perawi siqah tetapi dikatakan maudu’ (pereka hadith) sedangkan itu adalah orang lain boleh membawa kepada penolakan hadith tersebut.

Justeru, seorang pelajar dan pengkaji hadith seharusnya mengetahui dengan tepat perawi tersebut sama ada dari aspek latar belakang, tarikh meninggal dunia, nasab, nama samaran, tabaqat, guru serta murid mereka dan sebagainya berkaitan perawi tersebut. Untuk mengenali perawi yang sukar dikenali tersebut, pelajar hadith hendaklah mempunyai kemahiran menyelidik disamping sering merujuk karya-karya ulama’ hadith yang telah membincangkannya.

Terdapat beberapa istilah yang dikaitkan dengan proses penyelidikan dan pengecaman perawi seperti berikut :
1. Al-Muttafiq dan al-Muftarik
Iaitu perawi yang berbeza tetapi mempunyai persamaan ejaan dan sebutan dari aspek nama, nama bapa dan ke atas, kunniyah (panggilan), laqab (gelaran), nasab keturunan dan sebagainya. Maksudnya satu nama yang dikongsi oleh ramai perawi.

Sebagai contohnya nama Abdullah sahaja daripada kalangan Sahabat berjumlah lebih 300 orang. Sebab itu terdapat empat Sahabat yang banyak meriwayatkan hadith dikenali dengan al-Abadillah. Justeru mereka dikenali dengan nama Ibn Umar (juga lebih dikenali tinggal di Madinah), Ibn Abbas (Basrah), Ibn Zubair (Mekah) dan Ibn Mas’ud (Kufah).

Perawi yang sama namanya dan nama bapa ialah seperti nama Umar bin al-Khattab yang dikongsi dengan enam perawi berlainan dan Anas bin Malik yang dikongsi oleh lima orang perawi. Begitu juga nama al-Khalil bin Ahmad mempunyai enam orang yang berbeza. Contoh yang sama dengan nama perawi, bapa dan datuk ialah seperti Ahmad bin Ja’far bin Hamdan yang berkongsi dengan empat orang sementara gelaran Abu Umran al-Jawni mempunyai dua orang yang berlainan.

Untuk mengecam perawi yang nama sama begini, pengkaji hadith hendaklah memastikan periwayatan berlaku pada satu zaman. Justeru, perawi yang bersamaan tersebut dikenali melalui tarikh mereka meninggal dunia yang menunjukkan mereka pernah hidup sezaman dan berguru dengan guru atau perawi yang diriwayatkan hadith tersebut.

2. Al-Mu’talif dan al-Mukhtalif
Iaitu perawi yang mempunyai persamaan ejaan tetapi berbeza sebutan dari aspek nama, kunniyah (panggilan), laqab (gelaran) dan nasab keturunan.

Sebagai contohnya, ejaan nama (Ba’ Shin Ra’) biasanya disebut nama perawi dengan baris bawah pada huruf Ba’ (Bisr). Namun, terdapat empat orang perawi yang berbeza kerana sebutan nama mereka dengan baris hadapan (Busr). Mereka ialah Abdullah bin Busr, Busr bin Said, Busr bin Ubaidillah dan Busr al-Daylami. Begitu juga perawi lain yang mempunyai ejaan yang sama tetapi berlainan sebutan seperti Salam dan Sallam dan Miswar dan Musawwar. Kadang-kadang, terdapat pula perawi yang berlainan huruf ejaan tetapi sebutannya hampir sama seperti al-Bazzaz (dengan Zai’) dan al-Bazzar (dengan Ra’), al-Azra’i dan al-Adra’i, Hizam dan Haram serta al-Thawri dan al-Tawwazi.

Perbezaan begini hanya boleh dibuat pengecaman melalui kemahiran tinggi pengkaji hadith. Ini kerana sebutan untuk perawi yang juga berbeza ini hanya diketahui dan dijaga melalui hafalan sahaja selain daripada penggunaan sebutan yang masyhur di kalangan ahli hadith.

3. Al-Mutasyabih
Iaitu perawi yang mempunyai persamaan ejaan dan sebutan, tetapi terdapat perbezaan pada sebutan nama bapa walaupun sama pada ejaannya. Begitu juga sebaliknya iaitu perbezaan terdapat pada nama perawi tetapi persamaan pada nama bapa.

Sebagai contohnya, nama perawi sama, tetapi nama bapa perawi berbeza seperti kebanyakkan nama Musa bin Ali dieja dan disebut dengan baris atas huruf (Ain) kecuali bapa perawi bernama Musa bin Ulai bin Rabah al-Laghmi yang disebut dengan baris hadapan. Contoh lain nama Muhammad bin ‘Aqil (baris atas) dan Muhammad bin ‘Uqail (baris hadapan) Abu ‘Amru al-Saibani (huruf Sin) dan Abu ‘Amru al-Syaibani (huruf Syin). Begitu juga sebaliknya, contohnya nama perawi yang berbeza, tetapi bersamaan pada nama bapa seperti Suraij bin al-Nu’man (huruf Sin dan Jim) dan Syuraih bin al-Nu’man (huruf Syin dan Ha’), Amru bin Zararah dan Umar bin Zararah serta Hayyan al-Asadi dan Hanan al-Asadi.

Al-Mutasyabih juga meliputi nama perawi dan nama bapa yang sama pada ejaan dan sebutan, tetapi nama mereka ada yang dahulu dan ada yang dibelakang. Contohnya, perawi bernama al-Aswad bin Yazid dan Yazid bin al-Aswad adalah dua perawi yang berlainan. Begitu juga jika terdapat perbezaan pada huruf yang dahulu dan yang dibelakang seperti serta Ayyub bin Sayyar (huruf Sin dahulu) dan Ayyub bin Yasar (huruf Ya’ dahulu).

Terdapat beberapa istilah lain berkaitan dengan nama-nama perawi. Antaranya seperti berikut al-Muhmal iaitu perawi yang meriwayatkan daripada dua perawi yang sama nama tanpa disebut sesuatu yang membezakannya; al-Mubham iaitu perawi yang tidak jelas namanya pada matan atau sanad sama ada lelaki atau perempuan; dan al-Mufradat iaitu seorang perawi sahaja yang dikenali dengan sesuatu nama, kunniyah atau laqab dan tidak digunakan oleh orang lain.

Najahudin Lateh
Shah Alam
27 September 2012