Konvensyen Kewangan Islam & tiga program penting Sabtu lepas

Sabtu lepas, 7hb hari yang sangat sibuk. Di tengah-tengah keriuhan manusia Malaysia menyambut hari ibu, aku berada dalam keadaan dilema pilihan. Ada empat program ilmu yang sangat penting bagi aku. Satu program Seminar Maqasid Syariah di Dewan Jubli Perak SUK Selangor. Dua, program Konvensyen Kewangan Islam anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia, Selangor. Satu lagi program menadah ilmu bersama guruku di Masjid Fatah, Syeikh Nuruddin al-Banjari. Kedua-duanya di masjid negeri Selengor. Keempat, program Seminar Kad Kredit bersama geng kelab hartanah di Bandar Sri Permaisuri.

Akhirnya aku memilih program di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Sebabnya di situ ada dua program pada masa dan tempat yang sama. Ketika berdiskusi tentang riba di dewan utama, aku boleh menyelit untuk ke dewan solat di atas bersama dengan guruku itu. Program pertama tidak kusertai sebab program serupa pernah dibuat pertengahan April lalu, juga di tempat yang sama. Program terakhir sangat penting bagi aku. Apapun aku memohon maaf pada founder kelab HH dan urus insan kerana tidak dapat hadir program bermanfaat itu.

Dalam konvensyen itu, tema utamanya adalah riba. Konvensyen ini sebenarnya adalah kali kedua, kali pertama dulu juga ditempat yang sama tapi dengan tema judi. Agak menarik bagiku kerana konvensyen ini menemukan aku dengan guru-guruku yang hebat. Begitu gembira dapat berdiskusi dengan tuan-tuan guru seperti Dr. Abdul Azizi Hanafi, Dr. Abdul Rashid Dail dan Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri. Antara pembentang lain ialah Dr. Mohamad Akram Laldin, ustaz Nazri Chik dan Ustaz Mohamad Fairooz. Kertas-kertas kerjanya sangat menarik. Antara isu panas yang dibentangkan adalah berkaitan Fiat Money, riba dalam sistem kontemporari, jual-beli emas, operasi & kontrak perbankan Islam dan sebagainya.

Para pengkaji dan mereka yang berminat untuk mendapatkan kertas kerja penuh dalam konvensyen tersebut, boleh layari laman web Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Selangor atau di laman web aku untuk muat turun, termasuk kertas-kertas kerja seminar sebelum ini.