Kaedah penentuan arah kiblat melalui nikmat alam semesta

Kaedah yang disebutkan di sini adalah dengan menggunakan jasad-jasad samawi (alam langit) dengan catatan bahawa terdapat peralatan moden lain yang mungkin lebih mudah untuk menentukan arah kiblat seperti GPS, kompas prismatik, tiodolit dan gyroscope.

‘Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya’ (Surah al-Anbiya’ : 33)

“Dan Dia lah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mengetahui.” (Surah Al-An’am ayat 97)

Kaedah nikmat alam ini merujuk kepada pengguna bulan, bintang, matahari dan sebagainya. Antaranya adalah seperti berikut :
1. Kaedah Buruj Al-Babadur (Belantik / Orion)
- buruj ini kelihatan di Malaysia pada bulan Julai (waktu subuh), Disember (waktu tengah malam) hinggalah Mac (waktu maghrib)
- pada buruj ini terdapat tiga bintang berderet iaitu Mintaka, al-Nilam dan al-Nitak (Bintang Tiga Beradik)
- arah tiga bintang berderet tersebut ke barat adalah arah kiblat

2. Kaedah Istiwa’ Matahari Atas Kaabah / Lintasan Matahari Atas Garisan Kaabah
- kedudukan matahari yang tegak di atas Kaabah menjadikan bayang objek tegak di seluruh dunia berbetulan ke arah kiblat
- ini berlaku setiap tahun sebanyak dua kali iaitu pada 28 Mei jam 5.16 petang dan pada 16 Julai jam 5.28 petang (waktu Malaysia)
- kaedah lintasan matahari atas garisan kiblat juga boleh digunakan untuk membuat penentuan ini – sila lihat lampiran (J-QLIM) Selangor
- lihat sebarang objek tegak di luar rumah anda (seperti tiang lampu, pagar dll) – arah bayang-bayang ke barat adalah arah kiblat
*[Jiran saya ada menulis tentang istiwa' ini di sini]



3. Kaedah Tenggelam Matahari
- kaedah ini adalah ijtihad semata-mata dan KURANG TEPAT untuk penentuan arah kiblat
- ini kerana arah matahari terbenam di Malaysia berubah-ubah dari azimut 235° hingga 295°
- namun, arah matahari terbenam boleh digunakan jika diketahui perbezaan sudut antara arah matahari dengan arah kiblat dan anggarannya di Malaysia adalah seperti di sebelah.



4. Kaedah Semakan Peta Melalui Aplikasi Internet

- terdapat aplikasi dalam internet yang boleh membantu menentukan arah kiblat seperti Google Earth serta laman web http://www.qiblalocator.com dan http://www.al-habib.info
- contoh semakan di qiblalocator.com hybrid zoom bagi lokasi Alam Budiman dengan nilai latitud dan longitud serta darjah arah kiblat dari Rahmath Bistro adalah pada direction 292.56°N seperti berikut :



‘Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mendirikan solat) maka hadapkan mukamu kearah Masjidil Haram (Kaabah) dan dimana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu kearahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang yang menyalahi kamu kecuali orang yang zalim diantara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasannya)”. Maka janganlah kamu takut kepada cacat cela mereka dan takutlah kamu kepada Ku semata-mata dan supaya Aku sempurnakan nikmat Ku kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar)’ (Surah al-Baqarah : 150)

Kepentingan Kiblat :
Untuk Perkara Wajib :
• Mendirikan solat (wajib mengadap Kiblat)
• Melakukan tawaf keliling Kaabah (bahu kiri menjurus ke Kaabah)

Untuk Perkara Sunat :
• Mendirikan masjid dan surau
• Mengambil wuduk
• Melaungkan azan
• Berdoa
• Membaca Al-Quran
• Melakukan sujud syukur dan sujud sajdah atau tilawah
• Menyembelih binatang (penyembelih menghadap dan binatang mengiring kearah Kiblat)
• Meletak jenazah atas katil (arah kaki mayat menghala ke Kiblat)
• Menyempurnakan kedudukan jenazah dalam liang lahad (mayat di posisikan agar mengiring sebelah kanan dan mengadap Kiblat)
• Tidur (sunat kepala menghala ke Kiblat atau dalam kedudukan jenazah dalam kubur)

Untuk Perkara Makruh :
• Menunaikan qadh’ hajat (ditegah mengadap atau membelakangkan Kiblat)
• Berlunjur kaki (ditegah menghala ke Kiblat)
• Berludah (ditegah menghala ke Kiblat)

Susunan :
Najahudin Lateh (UiTM Shah Alam)
Kertas ringkas ini dibentangkan dalam kuliah Subuh di Surau Raudhotul Firdaus, Alam Budiman pada 27 Disember 2009 dengan tajuk EMPAT KAEDAH MUDAH MELALUI NIKMAT ALAM SEMESTA UNTUK PENENTUAN ARAH KIBLAT RUMAH ANDA DI ALAM BUDIMAN, SEKSYEN U10