Jangan lekas menghukum hadith melalui satu buku biodata perawi sahaja

Seperti diketahui, hukum sesuatu hadith sama ada sahih atau daif mempunyai pertalian yang rapat dengan perawi sanad. Walaupun begitu, kita jangan terlalu pantas menghukum sesuatu hadith itu sahih kerana semua perawi sanadnya sahih. Begitu juga daif sanad tidak bererti matannya juga daif. Ini kerana hadith yang sanadnya daif boleh menjadi sahih dengan kewujudan sanad lain bagi matan tersebut. Begitu juga sanad sahih tidak bermakna hadith juga sahih kerana mungkin terdapat syadh atau `illat dalam matan tersebut. Penilaian kita perlu kemas dan berdisplin. Aku telah jelaskan perkara ini dalam satu artikel lepas.

Satu aspek lain yang sering aku perhatikan terdapat di kalangan pelajar dan pencinta hadith yang terus memberi hukum hadith berdasarkan pandangan seorang penulis karya biodata rawi. Sebagai contoh, oleh kerana perawi si anu bin si anu disebut sebagai daif dalam satu karya perawi, maka ia terus dianggap sebagai daif dan hadithnya terus ditolak. Seharusnya, kita perlu berhati-hati dan jangan lekas menghukum. Ini kerana seorang pengkritik, penulis biodata perawi atau kita namakan sebagai ahli al-Jarh wa al-Ta`dil ada kepelbagainya dalam pelbagai aspek.

Di kalangan mereka sendiri, ada yang begitu banyak membicarakan perawi seperti Ibn Ma`in dan Abi Hatim; ada yang kurang sedikit seperti Imam Malik dan Syu`bah; dan ada yang membicarakan beberapa perawi seperti Ibn `Uyaynah dan Imam Syafi`i. Perbicaraan tentang al-Jarh wa al-Ta`dil ini adalah berdasarkan ijtihad dan usaha menyelidik yang bersungguh-sungguh terhadap perawi. Ini dinyatakan oleh al-Mundhiri, “Ikhtilaf mereka (iaitu ahli al-Jarh wa al-Ta`dil) seperti ikhtilaf ahli fekah, setiap perkara itu mempunyai ijtihad.” Oleh kerana ini merupakan ijtihad dan persepsi ulama al-Jarh wa al-Ta`dil dalam membuat penilaian, terdapat kelainan sikap mereka dalam menilai seseorang perawi. Al-Dhahabi mengklasifikasikan mereka ini kepada tiga kelompok, iaitu al-Mutasahilun, al-Mutawasitun dan al-Mutasyaddidun.

Golongan al-Mutasahilun merupakan mereka yang longgar dalam melakukan penelitian terhadap kualiti perawi seperti al-Tirmidhi, Ibn Hibban dan al-Hakim. Malah al-Hakim dikenali di kalangan ulama hadith dengan tasahul (bermudah-mudah) dan mensahihkan hadith yang da`if serta hadith yang mawdu`.” Sebab itulah kitab al-Hakim, Al-Mustadrak `ala al-Sahihayn yang merupakan karya yang menghimpunkan hadith menurut syarat al-Bukhari dan Muslim atau syarat salah satunya dikatakan terdapat hadith yang tidak menurut syarat mereka, bahkan al-Dhahabi dalam al-Mizan menyebutkan ¼ daripadanya adalah hadith da`if dan dalam Tadhkirah disebutkan terdapat di dalamnya hadith mawdu’. Sebagai contohnya hadith : “Aku adalah gedung ilmu dan `Ali pintunya. Siapa yang ingin memasuki gedung, datanglah ke pintu (`Ali)” Pada sanadnya terdapat nama Abu al-Salt `Abd al-Salam bin Salih yang dianggap oleh al-Hakim sebagai thiqah. Al-Dhahabi menolak dengan menyebut hadith ini mawdu’ dan Abu al-Salt seorang yang tidak thiqah, sementara al-Daylami telah memuatkan hadith ini dalam karya da`ifnya. Walaupun begitu, al-Hakim dikatakan mengarang al-Mustarak pada penghujung umurnya dan dalam keadaan pelupa. Ini terbukti apabila dia meriwayatkan hadith daripada `Abd al-Rahman bin Zayd bin Aslam, sedangkan dalam karya beliau tentang kualiti perawi, beliau mengatakan perawi ini telah meriwayatkan hadith mawdu` daripada bapanya, iaitu hadith : “Sesungguhnya kapal Nuh telah tawaf di Baitullah dan solat di belakang maqam (Ibrahim) dua rakaat).

Golongan Al-Mutawasitun pula merupakan mereka yang sederhana, iaitu mereka yang tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar ketika membicarakan perawi seperti Imam Ahmad, Abu Zur`ah al-Razi dan Ibn `Adi. Walau pun ahli al-Jarh wa al-Ta`dil ini dianggap sederhana, pada sesuatu ketika mereka bertegas dan kadang-kadang berlembut dalam menilai perawi. Sebagai contohnya, Ibn `Adi akan bertegas dengan puak madhhab Hanafi, sedangkan Imam Ahmad berkeras dengan siapa yang berkata al-Qur’an adalah makhluk.

Al-Mutasyaddidun pula ialah golongan yang ketat dan mudah mentajrih perawi walaupun dengan kesalahan yang kecil ketika melakukan penelitian terhadap perawi. Antara mereka yang termasuk dalam klasifikasi ini ialah Syu`bah bin al-Hajjaj, Yahya bin Sa`id al-Qattan, Malik bin Anas, Yahya bin Ma`in, `Ali bin al-Madini, Abu Hatim al-Razi dan al-Nasa’i. Malah, al-Nasa’i telah menyatakan beberapa orang perawi sebagai da`if walaupun diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari seperti Isma`il bin `Abd Allah dan `Asim bin `Ali al-Wasiti serta oleh Muslim seperti Suwayd bin Sa`id.

Oleh kerana kelainan persepsi ahli al-Jarh wa al-Ta`dil dalam membicarakan seseorang perawi, para pengkaji perawi hadith dianjur supaya cermat dan tidak melulu menghukum seseorang perawi sebagai al-Jarh dengan hanya berpandukan kepada penilaian sesetengah ahli al-Jarh wa al-Ta`dil.

Al-Laknawi menjelaskan, “Wajib ke atas kamu untuk tidak tergesa-gesa menghukum jarh terhadap seorang perawi hanya semata-mata kerana penilaian sebahagian ahli al-Jarh wa al-Ta`dil, melainkan engkau mesti meneliti kebenaran hal itu. Masalah ini amat penting dan banyak justifikasinya. Kamu tidak berhak menerima penilaian seluruh orang yang menjarh terhadap perawi yang mana pun. Kerap kali terdapat suatu hal yang menghalang diterima suatu jarh, antaranya penjarh itu sendiri kadang-kadang seorang yang dijarh. Oleh yang demikian, penilaian al-Jarh wa al-Ta`dilnya tidak boleh diterima begitu sahaja sehingga terdapat penilaian yang sama daripada orang lain. Ibn Hajar menjelaskan dalam biografi Ahmad bin Syubayb setelah mengemukakan penilaian al-Azdi yang berkata, ‘tidak diterima’. Berkata Ibn Hajar, ‘Tidak seorang pun menerima penilaian ini, bahkan al-Azdi sendiri seorang yang tidak diterima.’ Begitu juga penjarh termasuk di antara orang yang sangat memperketat dan memperberat. Terdapat sejumlah ulama al-Jarh wa al-Ta`dil yang sangat memperketat perkara ini dengan menjarh perawi hanya dengan kecacatan yang sedikit. Orang seperti ini penilaian thiqahnya dapat diterima, sementara penilaian jarhnya tidak dapat diterima melainkan terdapat penilaian serupa daripada orang lain yang sederhana. Antara mereka ialah Abu Hatim, al-Nasa`i, Ibn Ma`in, Ibn al-Qattan, Yahya al-Qattan dan Ibn Hibban. Mereka dikenali sebagai orang yang berlebihan dan keras dalam menjarh. Setiap pengkaji hendaklah berhati-hati dan berfikir dahulu terhadap perawi yang hanya dinilai jarh oleh mereka.”