Ingatan kepada penyebar hadith Rasulullah SAW

Baru-baru ni aku ada mendengar satu tazkirah. Walaupun sahabat yang bagi tazkirah tu bukan dipanggil ustaz, namun penyampaiannya agak baik. Menyeru insan yang lalai untuk ke masjid ke surau. Cuma aku kurang enak dengan beberapa hadith ‘targhib’ yang digunakan. Agak mencabar minda lantas mencarik adat. Tanpa menafikan pendapat keringanan hadith daif dalam persoalan ‘fadhail a’mal’, aku lebih menekankan pengharaman penyebaran hadith maudhu’ (rekaan).

Di sini aku ingin mengingatkan diri aku serta sahabat-sahabat penceramah, penulis atau pengkhutbah Islam agar berhati-hati dalam memilih dan menyebarkan hadith-hadith Rasulullah SAW. Ingatan aku ini sama dengan satu tulisan aku dalam satu jurnal, “Usaha mereka yang menjadikan hadith sebagai sumber sandaran hujah amatlah dialu-alaukan. Namun, terdapat beberapa disiplin ilmu hadith diabaikan oleh mereka yang menggunakan hadith, termasuk yang dilakukan oleh responden dalam penulisan kertas projek mereka. Antara disiplin ini adalah setiap pengguna hadith perlu menyatakan hukum sesuatu hadith yang dikutip, sama ada sahih atau tidak. Ini boleh dilakukan dengan mengutip hukum klasifikasi hadith oleh pengarang, pengtahqiq atau melalui kajian sanad oleh pengguna hadith sendiri. Namun, terdapat beberapa perkara penting dalam membuat penilaian hukum hadith dalam sesuatu karya, iaitu :

1. Karya sahih al-Bukhari dan sahih Muslim
Mereka yang mengutip hadith yang wujud dalam karya sahih al-Bukhari dan sahih Muslim tidak perlu membuat kajian sanad hadith tersebut. Ini kerana hukum semua hadith kedua-duanya adalah sahih kerana al-Bukhari dan Muslim hanya meriwayatkan hadith-hadith sahih dengan sanad yang baik. Kewujudan hadith dalam salah satu karya sahih itu sudah memadai untuk menghukum hadith itu sahih dan tidak perlu membuat kajian sanad lagi. Ini kerana matlamat kajian sanad adalah untuk mengetahui sahih atau tidak sesuatu hadith. Al-Nawawi menjelaskan, “Perbezaan antara karya sahihayn (al-Bukhari dan Muslim) dengan karya-karya lain adalah kedua-duanya tidak perlu diteliti lagi, bahkan wajib beramal dengan hadithnya secara total. Manakala pada karya-karya lain tidak boleh beramal dengannya hinggalah diteliti dan didapati memenuhi syarat sahih. Pendapat ini adalah madhhab ahli hadith, bahkan Ibn al-Salah menyatakan hadith dalam kedua-dua karya tersebut adalah sahih secara qat`i (muktamad).

2. Karya-karya selain sahih al-Bukhari dan sahih Muslim.
Pengkaji hadith perlu menyatakan hukum hadith yang terdapat dalam karya-karya selain sahih al-Bukhari dan sahih Muslim. Ini kerana hadith yang terdapat dalam karya-karya lain ada yang sahih dan ada yang tidak. Penyatakan hukum ini boleh dimasukkan daripada tiga sumber, iaitu (i) Menyatakan hukum hadith yang dinyatakan oleh pengarangnya ; (ii) Menyatakan hukum hadith yang dinilai oleh pengtahqiq; atau (iii) Penilaian kendiri oleh pengguna hadith melalui pengkajian sanad.

Penyataan hukum sesuatu hadith, terutama dalam sesuatu penulisan perlu kerana tidak semua karya-karya hadith selain karya sahih al-Bukhari dan sahih Muslim mengandungi hadith sahih. Malah, tidak memadai sesuatu hadith itu dikatakan sahih hanya semata-mata kewujudannya dalam kitab seperti Sunan Abi Dawud, Sunan al-Tirmidhi, Sunan al-Nasa’i dan lain-lain lagi kerana pengarang karya-karya ini tidak meriwayatkan hadith sahih sahaja. Justeru, menjadi kewajipan kepada pengkaji hadith untuk membuat penelitian sanad dan menghukum hadith dalam karya-karya tersebut.

Selain itu, perlu diingatkan sesuatu hadith yang sanadnya dinilai sebagai da`if tidak bermakna matan (teks) hadith itu juga da`if. Ulama’ hadith mempunyai disiplin dalam hal ini, iaitu “Sesiapa yang melihat hadith dengan sanad yang da`if, ia hendaklah menyebut ‘da`if (hadith) dengan sanad ini’ dan jangan menyebut ‘da`if matan’ hanya semata-mata dengan sanad ini sahaja kerana kadang-kadang terdapat sanad lain yang sahih, kecualilah imam hadith telah menyatakan hadith itu tidak diriwayat dengan jalan yang sahih atau (dikatakan) hadith itu da`if dengan diterangkan sebab keda`ifannya.” Masalah ini penting dan diingatkan oleh ulama’ hadith kerana da`if sanad tidak bermaksud da`if matan dan begitu juga sebaliknya. Ini kerana kadang-kadang sanad da`if, tetapi matannya sahih kerana terdapat sanad lain. Begitu juga kadang-kadang sanad sahih, tetapi matannya tidak sahih kerana syadh atau `illat. Sebab itulah terdapat ramai ahli hadith yang melakukan kritikan menyatakan, ‘hadith ini sahih sanad’, ‘hasan sanad’ atau ‘sanad sahih’ dan seumpamanya dan tidak menyatakan ‘hadith sahih’ atau ‘hadith hasan’.”

p/s : Minta maaf kalau orang awam tidak biasa dengan istilah yang digunakan.