Updates from October, 2012 Toggle Comment Threads | Keyboard Shortcuts

  • linuxpro 8:59 am on 24/10/2012 Permalink
    Tags: emas, genneva,   

    Liabiliti Genneva Malaysia melebihi aset 

    Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia) melebihi aset syarikat itu.

    Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata keadaan itu jelas menunjukkan bahawa Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

    Beliau berkata siasatan awal BNM mendapati syarikat itu memang menjalankan urusniaga penjualan emas untuk menarik minat pelabur, tetapi bertukar kepada hanya mengambil deposit dan urusan pemberian jongkong emas kepada pelanggan tergendala serta lambat.

    Beliau menyifatkan operasi Genneva Malaysia sama seperti kebanyakan skim cepat kaya yang tidak sah.

    “Genneva sudah ada unsur pengambilan deposit dan jumlah yang dilabur oleh rakyat dengan aset yang ada pada syarikat begitu kecil, jadi ada jarak yang amat besar antara aset dan liabiliti.

    “Jadi bagaimana dia (Genneva) nak bayar bila liabiliti berbilion ringgit dan aset pula hanya dalam lingkungan jutaan (ringgit),” kata beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat semalam.

    Baru-baru ini, BNM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu beberapa premis Genneva Malaysia serta kediaman pengarah syarikat selepas beberapa pelabur yang menjadi mangsa tampil membuat laporan polis.

    Dalam pada itu, Awang Adek berkata Bank Negara sedang meneliti tindakan sewajarnya ke atas Genneva Malaysia dan Bank Negara juga tidak mungkin dapat membayar nilai pelaburan kepada para pelanggan syarikat terbabit.

    “Pada mulanya ada yang dapat pulangan dua peratus sebulan, dan ini tidak betul. Kita tak boleh kata pelabur tak bersalah, dia pun melabur dan ada risiko.

    “Syarikat memang salah. Mana ada skim yang boleh bagi pulangan baik, jika ia terlalu bagus, ia tidak mungkin betul,” katanya.

    - Malaysiakini, Bernama

     
  • linuxpro 8:57 am on 08/12/2011 Permalink
    Tags: Berjihad Memperkasa Ekonomi Ummah, seminar jihad bisnes   

    Artikel akhbar : Berjihad Memperkasa Ekonomi Ummah 

    Berjihad memperkasa ekonomi ummah

    Oleh NAJAHUDIN LATEH

    TERMINOLOGI jihad biasanya dikaitkan dengan perang. Hakikatnya, ia bukan begitu. Ia lebih luas meliputi jihad dalam dakwah, pendidikan, politik, medan perang dan antara yang agak penting adalah jihad dalam harta, perniagaan atau pembangunan ekonomi ummah.

    Malah, intelektual Islam Dr. Said Hawwa meletakkan jihad bil mal (jihad dengan harta) sebagai tunjang kepada pembahagian jihad lain dan yang terpenting untuk menjana serta sebagai bantuan logistik dalam gerakan dakwah, mendirikan pusat pengajian dan membeli alatan persenjataan.

    Kepentingan memperkasa perniagaan dan ekonomi ummah juga terbukti melalui penglibatan batang tubuh Baginda SAW sendiri dalam bidang ini.

    Sejarah Islam menyaksikan aktiviti perniagaan bukan sesuatu yang janggal dalam Islam. Selain Rasulullah SAW, isteri Baginda Siti Khadijah dan para sahabat seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain juga peniaga unggul pada zaman mereka.

    Rasulullah SAW sendiri turut bergantung kepada harta mereka pada awal penyebaran Islam. Malah, baginda SAW dan para sahabat adalah golongan peniaga yang aktif walaupun sibuk dengan urusan dakwah, pemerintahan negara dan sebagainya.

    Oleh kerana usaha ini suatu jihad, sudah tentu prosesnya mestilah menepati tuntutan Islam supaya harta yang diperolehi berkat dan mendapat ganjaran Allah SWT.

    Dr. Wahbah al-Zuhayli menyebutkan majoriti ulamak menetapkan semua perkara yang diperlukan dalam urusan kehidupan oleh umat Islam yang tidak menyalahi syarak adalah fardu kifayah walaupun tiada nas khusus tentang demikian.

    Justeru, mesti ada di kalangan umat Islam yang terlibat dengan perniagaan bagi mengelakkan bidang yang menguntungkan ini dimonopoli oleh orang lain. Penglibatan dalam perniagaan dengan ikhlas juga suatu ibadah.

    Justeru, perniagaan yang memenuhi piawai syariah adalah suatu kegiatan yang dianjurkan dalam Islam dan mendapat limpah kurnia-Nya.

    Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka dari limpah kurnia-Nya. (al-Faathir: 29-30)

    Penilaian sahnya sesuatu perniagaan menurut Islam adalah berpandukan persoalan sama ada ia memenuhi piawai syarak atau tidak. Jika terdapat elemen yang terbukti ketidakakuran terhadap hukum syarak dan muamalat, perniagaan itu adalah dianggap haram.

    Oleh itu, sebarang transaksi hendaklah menggunakan kontrak yang betul dan hendaklah bebas daripada sebarang unsur yang diharamkan dalam syarak.

    Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyenaraikan unsur-unsur larangan dalam urusniaga seperti berikut:
    nMembantu kepada perbuatan maksiat;
    nTerdapat unsur-unsur gharar atau penipuan;
    nTerdapat unsur-unsur eksploitasi atau pemerasan; dan
    nTerdapat penganiayaan terhadap salah satu pihak yang berkontrak.

    Selain keuntungan kepada peniagaan yang berusaha bersungguh-sungguh, mereka yang terlibat juga akan dijanjikan rahmat jika perniagaan dilakukan dengan kebajikan dan kebaikan.

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah memberikan rahmat-Nya pada setiap orang yang bersikap baik ketika menjual, membeli dan membuat suatu kenyataan. (riwayat al-Bukhari).

    Ini kerana perniagaan itu sendiri adalah bagi memenuhi fitrah manusia yang mencari harta serta inginkan keuntungan dan kekayaan.

    Walaupun ia adalah satu bidang yang sarat dengan risiko dan cabaran kemungkinan untung dan rugi, namun naluri manusia masih cenderung kepada keuntungan daripada perniagaan itu. Malah, kalau boleh, jiwa manusia mengidamkan keuntungan yang berlipat ganda.

    Keadaan ini menyebabkan terdapat sebahagian manusia yang sanggup meraih keuntungan berlipat ganda dengan menghalalkan segala macam demi mencapai matlamat tersebut.

    Inilah perniagaan secara batil yang dilarang dalam Islam dalam firman-Nya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu (rasuah) kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188)

    Elak perniagaan batil

    Perniagaan secara batil yang diharamkan ini termasuklah melalui rompakan, kecurian, makan riba, rasuah, perjudian, makan harta anak yatim dan sebagainya.

    Dalam soal lain, perniagaan secara batil juga boleh merangkumi paksaan, penipuan dalam timbangan, monopoli dalam perniagaan, menyorok barang dengan tujuan menunggu harga tinggi, memanipulasi pasaran dengan menaikkan harga barang keperluan hinggalah menerima dan memberi rasuah.

    Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling meredai di antara kamu. (al-Nisa’: 29).

    Ayat ini menjelaskan prinsip asas yang menjadikan sesuatu kontrak itu mengikut syariah adalah saling reda-meredai antara dua pihak yang berakad. Saling reda-meredai ini bermaksud satu pihak berpuas hati dengan satu pihak lagi.

    Sebagai contoh, seorang pembeli berpuas hati barang atau produk yang diterimanya dan rasa tidak tertipu sementara penjual pula menjualnya secara bebas, tiada riba, tidak dipaksa dan reda dengan harga jualannya.

    Perniagaan sebenarnya bukan diperlukan oleh individu semata-mata, malah oleh masyarakat, negara dan umat.

    Ini kerana kemampuan dan tenaga manusia adalah terhad sedangkan keperluan mereka dalam kehidupan adalah pelbagai. Melalui perniagaan, keperluan mereka ini dapat dilunaskan.

    Ringkasnya, perniagaan adalah penting dalam Islam dan mesti diceburi dan diperkasakan.

    Namun, perlulah diinsafi bahawa keuntungannya menurut perspektif al-Quran dan hadis bukan terbatas dalam perkara yang bersifat material dan duniawi saja, malah ia turut merentasi urusan rohaniah dan ukhrawi yang akan disoal semula akhirat kelak.

    Justeru, pemahaman tentang jihad memperkasakan ekonomi ummah yang selari dengan kehendak syariah hendaklah difahami sebaik-baiknya.

    Sebagai perkongsian maklumat, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor menjalin kerjasama dengan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. untuk merealisasikan hasrat ini dengan menganjurkan Seminar Jihad Bisnes pada 13 dan 14 Disember ini.

    Program yang akan diadakan di UiTM Shah Alam itu menampilkan tokoh-tokoh ekonomi ummah seperti Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dan Rohani Mohd. Shahir.

    Pembaca yang ingin menyertai seminar tersebut bolehlah menghubungi talian 03-92856577 atau 03-55442664.

    Artikel ini diterbitkan dalam akhbar Utusan, 8 Disember 2011. Sumber asal online di sini.

     
  • linuxpro 8:39 am on 02/11/2011 Permalink
    Tags: affiliate, Artikel penuh 'Awas transaksi haram di Internet', money games, , program internet, skim piramid   

    Artikel penuh ‘Awas transaksi haram di Internet’ 

    Akhbar Utusan melalui edisi cetak dan internetnya ada menyiarkan artikel aku berkaitan transaksi di internet dua minggu lepas. Edisi cetak menyiarkan sepenuhnya. Namun edisi online menyiarkan separuh sahaja, tanpa tulisan berkaitan ‘money games’ dan pelaburan internet. Untuk perkongsian, di bawah adalah tulisan penuh tanpa edit.

    Awas transaksi haram di Internet
    Oleh: Najahudin Lateh

    Dunia teknologi internet begitu pantas berkembang. Arusnya cukup laju dan kuat hingga boleh merubah bentuk serta sistem kehidupan manusia.

    Penggunaannya kini bukan setakat sebagai perpustakan terbesar di dunia, malah sudah menjadi pasaraya mega. Fungsinya bukan setakat mengantikan surat dan pejabat pos, tetapi sudah menjadi bank transaksi perniagaan dan tempat mencari kekayaan secara maya.

    Realiti ini menyebabkan terlalu ramai di kalangan masyarakat kita yang begitu teruja untuk kaya hingga tidak memikirkan bala bahaya yang mungkin menimpa. Perangkap untuk menipu dan memanipulasi wang sentiasa wujud tanpa disedari, terutama melalui program dan pelaburan-pelaburan berbentuk mesin duit di internet.

    Secara mudah, terdapat tiga cara untuk mencari duit di internet, iaitu melalui perniagaan internet, melalui program internet dan melalui pelaburan internet. Dari aspek hukum syariah, ketiga-tiganya tidak halal secara mutlak dan tidak haram secara mutlak. Ia bergantung kepada akad kontrak dan elemen yang wujud dalam transaksi tersebut.

    Perniagaan internet sebenarnya seperti perniagaan konvensional, iaitu proses jual beli barang atau mengambil upah. Hanya aplikasinya yang berbeza kerana transaksi perniagaan internet berlaku secara maya. Namun, prosesnya masih sama kerana berlaku pertukaran barang atau memberi dan mengambil upah perkhidmatan.

    Biasanya, barang yang dijual adalah dalam bentuk produk digital, fizikal atau dalam bentuk perkhidmatan. Contoh produk digital yang biasa dijual beli di internet adalah e-book (buku elektronik), web hosting, gambar grafik, audio kuliah, video ceramah, tutorial dan sebagainya. Produk fizikal pula adalah seperti menjual CD media, produk kesihatan, buku dan sebagainya. Satu lagi bentuk perniagaan internet adalah dalam bentuk perkhidmatan seperti mengambil upah membina laman web, meletak iklan, mereka bentuk grafik, menaip atau menterjemah sesuatu tulisan.

    Semua contoh-contoh tersebut adalah halal dan sah transaksinya jika memenuhi syarat yang ditetapkan syarak dalam setiap akad urusniaga itu. Ini kerana perniagaan internet menggunakan kontrak jual beli (al-Bay) atau upah (ujrah). Kontrak ini diharuskan dalam muamalat Islam.

    Walaupun begitu, setiap kontrak mesti memenuhi semua rukun dan syarat-syaratnya. Sebagai contoh, dalam kontrak jual beli mesti terdapat rukun-rukunnya, iaitu penjual, pembeli, barang, bayaran dan akad. Setiap rukun tersebut mempunyai syarat sahnya. Contohnya, penjual mesti memiliki atau boleh mewujudkan barangan tersebut dan boleh menyerahkannya kepada pembeli. Begitu juga antara syarat sah barang jualan mestilah sesuatu yang halal dan bukan mempunyai unsur lucah atau perjudian.

    Dalam jual beli internet, suatu perkara penting adalah penjual perlu memberikan maklumat berkaitan barang dengan lengkap seperti bentuk, kualiti, kuantiti dan sebagainya. Akad yang dilakukan di internet memadai dengan menggunakan butang persetujuan seperti butang ‘submit’ dalam borang pesanan. Justeru, jika semua syarat ini dipenuhi, sahlah urusniaga jual beli dalam internet tersebut.

    Program internet pula adalah suatu sistem automatik maya yang dianjurkan oleh pihak tertentu untuk memberi pulangan wang kepada pihak lain. Program ini ada yang halal dan ada yang haram bergantung kepada jenis kontrak serta bentuk program tersebut. Secara umum, program internet terbahagi kepada beberapa jenis, antara tiga yang popular adalah program affiliate, program pengiklanan dan program piramid.

    Program affiliate bermaksud pemilik laman web perniagaan yang melantik agen promosi alamat laman web perniagaan tersebut. Ini bererti mereka yang menyertainya akan diberikan alamat url affiliate ID tersendiri dan bertanggung jawab mempromosikan.

    Jika terdapat pembeli yang klik ke url tersebut dan kemudian membeli sesuatu di laman web perniagaan, pemiliknya akan memberi komisyen kepada peserta tersebut. Program ini pada asasnya halal kerana menggunakan akad ujrah (upah). Namun, ia bergantung kepada kandungan dan produk laman web yang disertai sama ada halal atau haram.

    Program pengiklanan pula bermaksud pihak penganjur akan memberi upah kepada peserta yang menyertainya dan menyediakan ruang di laman web mereka untuk iklan daripada penganjur. Justeru, penganjur akan menjadi orang tengah yang menyalurkan iklan pembeli iklan ke dalam laman web peserta. Oleh itu, peserta akan dibayar, sama ada mengikut bilangan klik atau bilangan paparan oleh pelawat laman webnya. Antara contoh program ini yang popular adalah Google Adsense, Nuffnang dan Text-Links-Ads.

    Program ini juga halal seperti program affiliate, kecuali terdapat sebab mengharamkannya seperti iklan yang disertai mengandungi kandungan lucah atau haram dan tidak disalahguna seperti diklik sendiri oleh peserta.

    Program piramid atau money game pula adalah bentuk program internet yang haram dan perlu dijauhi oleh masyarakat. Program ini mempunyai pelbagai bentuk, namun kebiasaannya ia berbentuk mesin penjana wang automatik melalui pemberian wang oleh peserta kepada beberapa pihak sebagai bayaran keahlian dan kemudian peserta tersebut perlu mencari peserta baru yang kemudiannya akan melakukan perkara yang sama.

    Biasanya, pihak yang menerima bayaran terbahagi kepada tiga, pemilik laman web (penganjur), ahli yang mempekenalkan peserta dan mana-mana ahli yang dipilih secara rawak oleh sistem program.

    Malah, ada juga program yang menetapkan level tertentu yang menghendaki peserta membayar sejumlah wang sebagai bayaran keahlian. Bayaran tersebut kemudiannya diagih oleh penganjur kepada setiap level orang yang memperkenalkan peserta tersebut. Seterusnya peserta baru tersebut perlu pula mencari beberapa orang untuk diisi pada level piramid di bawahnya yang akan dimasukkan secara automatik.

    Program ini haram disertai kerana hanya bertujuan mengkayakan penganjur dan menjadikan peserta bergantung kepada nasib dengan menunggu giliran untuk mendapat bayaran. Program ini bergantung kepada nasib semata-mata, malah hanya orang yang berada pada level teratas yang terus menjadi kaya.

    Selain program internet, masyarakat Islam juga perlu berhati-hati dengan pelaburan internet. Pelaburan ini sebenarnya adalah jelmaan skim cepat kaya konvensional, tetapi telah dimodenkan dengan penggunaan internet. Bentuk dan modus operandinya tetap sama, letak duit secara maya, goyang kaki dan berpeluk tubuh dengan mengharapkan wang pertaruhan itu ‘beranak-pinak’ dalam akaun bank peserta.

    Ramai peserta pelaburan ‘mi segera’ ini berfikir mereka akan kaya dengan cepat. Tidak pelik kalau mereka dulu yang cepat meninggal dunia setelah pulangan deposit mereka tidak diterima atau laman web itu sendiri sudah tidak beroperasi.

    Pelaburan internet ini adalah haram kerana berbentuk perjudian dan lebih mengharapkan kepada nasib untuk mencari rezeki. Hanya goyang kaki tanpa ada sebarang usaha. Malah, ia bertentangan dengan konsep pelaburan dalam Islam yang terbuka kepada konsep untung dan rugi.

    Walaupun begitu, tidak semua pelaburan internet ini haram. Terdapat juga pelaburan internet secara sah yang ditawarkan oleh institusi kewangan dan bank melalui laman web mereka. Pelaburan ini biasanya tidak mempunyai masalah kerana berlesen dan telah lulus piawai syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti serta Bank Negara.

    Secara ringkas, umat Islam di Malaysia perlu menyelidik transaksi yang dilakukan. Mereka mempunyai pilihan memilih perniagaan, program atau pelaburan yang memenuhi neraca syariah. Cuma perlu tepuk dada, tanya iman kita sama ada mahu kepada kerahmatan rezeki yang halal atau kemurkaan Tuhan segala manusia.

    Penulis ialah Pensyarah di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan boleh dihubungi melalui email najahudin@salam.uitm.edu.my

     
  • linuxpro 3:24 pm on 09/06/2011 Permalink
    Tags: , , utusan malaysia   

    Artikelku dalam Utusan hari ni : MLM mesti menepati syariah 

    MLM Perlu Selari Dengan Neraca Syariah
    OLEH : NAJAHUDIN BIN LATEH

    Suatu isu yang sering diperkatakan dan dibincangkan melalui neraca muamalat Islam adalah berkaitan Multi Level Marketing (MLM). Ini kerana reka bentuk MLM yang boleh pada asalnya selari dengan syariah seringkali dilencongkan hingga menjadikannya suatu yang diharamkan.

    Ironinya, pemain MLM itu sendiri sama ada syarikat atau ejen pengedar yang membentuk dan memandu sistem pengedaran mereka menjadi tidak serasi dengan hukum Islam. Hal ini boleh dikesan melalui pelan pemasaran, produk, harga, komisyen dan pelbagai elemen lain yang tidak memenuhi kontrak muamalat.

    Hakikat yang perlu diakui, MLM adalah instrumen pemasaran yang baik untuk mengedar sesuatu produk atau perkhidmatan. Ini berlaku apabila pengedar yang dilantik oleh syarikat akan membentuk rangkaian pengedar lain di bawahnya. Seterusnya mereka akan mendapat bonus, komisyen atau insentif hasil daripada jualan peribadi dan rangkaian masing-masing.

    Dari aspek kontrak muamalat, MLM biasanya melibatkan kontrak al-Bay’ (jual-beli) dan al-Ju’alah (upah). Oleh itu, sistem pemasaran ini sewajarnya menepati dengan semua syarat kontrak-kontrak tersebut seperti produk jualan hendaklah halal, wujud semasa akad dan boleh diserah kepada pembeli. Selain itu, bonus atau komisyen juga hendaklah diketahui nisbahnya, dimiliki oleh syarikat dan bukannya diambil daripada yuran keahlian downline yang ditaja oleh pengedar.

    Justeru, MLM yang patuh syariah bukannya menjalankan transaksi secara skim piramid atau money games yang menghendaki peserta baru (downline) membayar yuran dan kemudian bayaran tersebut akan diagihkan kepada pemilik skim dan upline. Objektif utama MLM mengikut syariah adalah menjual produk dan bukannya menaja downline. Keuntungannya adalah daripada keuntungan jualan produk dan bukannya kutipan yuran keahlian.

    Kadang-kadang wujud dalam sistem MLM jelmaan daripada money games yang produknya hanyalah replika duplikasi laman web yang boleh menempatkan downline yang ditaja secara automatik. Sasaran sistem tersebut adalah menaja dan menempatkan rangkaian dan bukannya untuk jualan produk.

    Walaupun kebanyakkan sistem sebegini mempunyai produk dalam halaman laman web tersebut, ia hanyalah helah dan tempelan sampingan untuk mengesahkan transaksi mereka. Ini boleh dikesan melalui jenama produk yang langsung tidak dikenali, tetapi harganya sangat tinggi dan melampau berbanding produk yang hampir-hampir sama di pasaran. Malah, kadang-kadang produk tersebut adalah beberapa buah e-book digital yang sebenarnya boleh dicari dan dimuat turun secara percuma di internet.

    Pemasaran secara MLM juga jauh daripada syariah apabila wujudnya elemen pengharaman dalam muamalat Islam seperti riba, judi, gharar (ketidakpastian) dan penipuan serta pemalsuan. Unsur penipuan sebagai contohnya boleh dilihat melalui promosi serta gambaran melampau terhadap sesuatu produk sedangkan hakikat kualitinya tidak begitu dan harganya juga jauh lebih tinggi dengan produk setaranya di pasaran.

    Kadang-kadang tipudaya melibatkan para pengedar yang ditonjolkan dengan gambar berkereta mewah seolah-oleh syarikat yang menghadiahkannya sedangkan hakikatnya syarikat hanya membayar deposit seribu dua ringgit sahaja dan bulanannya sebanyak empat lima ribu ringgit dibayar oleh pengedar itu sendiri.

    Begitu juga gharar juga boleh berlaku apabila upline memperolehi keuntungan daripada jualan downline dengan hanya duduk diam bergoyang-kaki. Segala usaha jualan dilakukan oleh downline tetapi upline memperolehi habuan jualan tersebut kerana terlibat sebagai penajanya. Begitu juga hal ini berlaku apabila jarak antara kedua-duanya terlalu jauh hingga tiada suatu usaha seperti bimbingan atau motivasi kepada rangkaian downlinenya.

    Justeru, semua perkara tersebut hendaklah dielakkan untuk menjamin rezeki yang diperolehi adalah halal dan berkat dalam pertumbuhan daging tubuh kita. Sikap berhati-hati dan memilih menurut piawai syarat perlu diutamakan daripada impian dan nafsu kekayaan melimpah-ruah.

    Oleh itu, pemain industri pemasaran ini terutamanya syarikat dan pengedar MLM hendaklah mengambil langkah-langkah berikut dalam membaiki sistem mereka supaya bertepatan dengan syariah :
    (i) Profil syarikat MLM hendaklah bersih daripada terlibat atau mempunyai saham dalam industri yang diharamkan.
    (ii) Perniagaan MLM hendaklah berasaskan kontrak muamalat Islam seperti jual beli produk atau perkhidmatan dan bukannya berbentuk skim piramid, skim cepat kaya atau money games.
    (iii) Produk atau perkhimatan yang ditawarkan adalah halal, bermanfaat dan sah di sisi syariah serta undang-undang negara.
    (iv) Upah untuk pengedar yang mencari ahli dan downline baru adalah daripada peruntukan syarikat atau suatu dana khas dan bukannya daripada yuran penyertaan mereka.
    (v) Harga jualan produk tidak terlalu mahal dan melampau hingga melebihi dua kali ganda nilai berbanding dengan harga pasaran.
    (vi) Keuntungan, komisyen atau bonus yang diperolehi hendaklah jelas ditetapkan serta daripada hasil jualan peribadi, jualan kumpulan atau bimbingan kepada downline dan bukannya daripada bayaran yuran pendaftaran atau tajaan ahli baru.
    (vii) Keuntungan dan komisyen yang diperolehi oleh upline adalah daripada downline yang dibantunya sahaja dan tidak terlalu jauh jarak antara kedua-duanya.
    (viii) Upline dan downline mempunyai hak yang sama untuk mendapat keuntungan yang lebih tinggi antara satu sama lain berdasarkan jualan yang dilakukan dan bukannya atas faktor siapa yang masuk dahulu sentiasa akan untung lebih tinggi.
    (ix) Upline hendaklah mengadakan pertemuan, latihan, teknik pemasaran motivasi dan bantuan kepada downline untuk melayakkannya menerima komisyen jualan orang bawahannya.
    (x) Syarikat MLM hendaklah melantik Panel Penasihat Syariah dalam organisasi mereka untuk mencadang kelulusan dan memantau setiap produk dan pelan pemasaran supaya selari dengan muamalat Islam.

    l

    Penulis ialah Pensyarah di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan boleh dihubungi melalui email najahudin@salam.uitm.edu.my

    Artikel penuh ini boleh dilihat di akhbar cetak Utusan Malaysia, 9 Jun 2011. Sebahagian artikel ini boleh dilayari di edisi online akhbar tersebut.