Artikelku dalam Utusan : Fahami Peristiwa Penurunan al-Quran

Fahami Peristiwa Penurunan al-Quran
Oleh : Najahudin Lateh

Bulan Ramadan melakarkan pelbagai peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam. Selain pensyariatan puasa, peristiwa lain yang ditulis dengan tinta emas adalah kemenangan Islam dalam Badar Kubra, pembukaan Kota Mekah, pertempuran Ain Jalut, Yom Kippur, intifadhah Palestin dan sebagainya.

Namun, peristiwa penting terbesar adalah penurunan al-Quran atau Nuzul al-Quran yang disambut oleh kita pada hari semalam. Penurunan mukjizat ini dirakamkan dalam al-Quran dalam firman-Nya : Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara benar dengan salah). (al-Baqarah : 185)

Ayat ini jelas menunjukkan al-Quran sebagai suatu dokumen rujukan dan cahaya petunjuk kepada semua manusia. Pedoman melahirkan individu atau masyarakat Islam tulen juga terkandung dalam al-Quran. Malah, penurunannya juga adalah suatu bukti kewujudan Allah SWT serta kerasulan Muhammad SAW dengan apa yang dibawanya.

Menurut Jalaluddin al-Suyuti, al-Quran diturunkan dalam dua peringkat. Peringkat pertama daripada Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus. Penurunan sekaligus ini berlaku pada malam al-Qadar di bulan Ramadhan yang dirakam dalam al-Quran : Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. Dan apakah engkau mengetahui malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (al-Qadr : 1-3)

Penurunan peringkat kedua pula daripada Baitul Izzah di langit dunia kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur dalam tempoh lebih kurang 23 tahun. Bermula dari saat Baginda SAW diangkat sebagai rasul, ayat al-Quran mula diturunkan hinggalah berakhir sebelum kewafatannya iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Sifat penurunan al-Quran begini ini adalah suatu hikmah yang besar kepada umat Islam terdahulu.

Penurunan al-Quran secara beransur-ansur adalah mengikut persediaan Rasulullah SAW sendiri, keperluan situasi zaman dan menjawab persoalan semasa. Kadang-kadang ayat diturunkan berdasarkan sesuatu masalah, menjawab pertanyaan Sahabat atau hasil sebab peristiwa yang berlaku dan kadang-kadang merupakan suatu perintah dalam sesuatu amalan syariat.

Sifat penurunan begini memberi banyak hikmahnya. Ia memudahkan Rasulullah SAW serta para Sahabat memahami, menghafal dan mengamalkan ajaran al-Quran. Malah, adat jahiliah dan pengamalan bukan secara Islam juga dapat dibuang sedikit demi sedikit tanpa menimbulkan kejutan kepada masyarakat awal Islam.

Selain itu, kategori penurunan ayat-ayat juga melambangkan kemukjizatan al-Quran. Ini terserlah melalui penurunan kategori ayat sebelum hijrah dan selepasnya. Ayat yang diturunkan sebelum hijrah disebutkan Makkiyah biasanya melibatkan ayat-ayat pembinaan akidah, akhlak di samping keterangan tentang sifat-sifat ketuhanan dan keesaan Allah SWT.

Kategori ayat ini berlainan dengan fasa selepas hijrah yang disebutkan ayat-ayat Madaniyah. Ayat dalam kategori kedua ini memberi perhatian kepada jihad, cara amal ibadat, hukum-hakam dan proses pengisian individu dan masyarakat Islam.

Proses penurunan al-Quran ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan malam al-Qadar, bulan Ramadan dan ibadat puasa seperti yang dinyatakan di atas. Secara umum, ia mengandungi makna simbolik tentang kelebihannya dan kemuliaan al-Quran yang Allah SWT kurniakan pada kita.

Oleh itu, kita sebagai umat akhir zaman yang masih boleh menatap al-Quran sebelum kita dimatikan atau sebelum al-Quran diangkat ke langit hendaklah mengambil beberapa langkah perubahan. Sesuai dengan kehadiran Ramadan yang masih berbaki, marilah sama-sama kita teruskan khidmat bakti kita dengan al-Quran melalui langkah-langkah berikut :
? Belajar al-Quran melalui kelas-kelas iqra’, tajwid, taranum, bahasa Arab dan sebagainya bagi membaiki bacaan serta sebutan huruf dan makhraj yang betul;
? Tadarus al-Quran dengan membaca secara tartil dan mengulangkaji ayat al-Quran serta meneliti tafsir-tafsir ayat berkaitan;
? Tadabbur al-Quran dengan memahami maksud ayat al-Quran yang dibaca serta memahami sebab-sebab turun ayat-ayat tersebut;
? Menghafaz al-Quran sedikit demi sedikit dengan dimulakan dengan ayat-ayat lazim yang pendek serta dibacakan dalam solat setiap hari;
? Mengamalkan ayat-ayat al-Quran dalam amalan harian, ibadat wajib atau sunat serta dalam kehidupan kita;
? Memuliakan ahli al-Quran dengan menghormati para hafiz, meramaikan generasi al-Quran, mendirikan pusat tahfiz, memberi sumbangan kepada mereka dan sebagainya.

Justeru, peristiwa penurunan al-Quran ini perlu difahami sebaik-baiknya sebaik-baiknya untuk melahirkan umat yang benar dan di landasan yang betul. Selama mana al-Quran belum diangkat ke langit atau ditinggalkan, selama itulah ia menjadi pedoman hidup kita di dunia sebelum menuju ke akhirat. Firman Allah SWT : Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), kitab suci (al-Qur’an), dan Dia tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong). (al-Kahfi : 1).

Hayatilah juga sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu al-Qur’an dan Sunnahku. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku.” (riwayat Muslim dan Abu Daud)

Penulis adalah pensyarah di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan boleh dihubungi melalui emel najahudin@salam.uitm.edu.my

Artikel penuh ini disiarkan dalam akhbar Utusan pada 18 Ogos 2011 (Khamis) dan sebahagian artikel ini boleh dibaca di edisi onlinenya. Artikel-artikel lepas di sini.