Pelanggaran Hukum Lelongan Rumah di Jalan Raja Chulan

Upacara lelong rumah ada pantang larangnya. Ada hukum-hakam kepada pemain. Antaranya disyorkan kurang enak membida rumah yang masih dihuni oleh owner. Kalau dihuni oleh penyewa atau hantu raya tiada masalah. Kalau dihuni penyewa lebih bagus sebab dia boleh sambung sewa terus dengan kita. Kalau dihuni hantu raya, Dr. Haron Din kan ada. Kalau dihuni oleh owner masalahnya bila owner tu jenis tak nak pindah. Jenis perongus atau bekeng. Contohnya jenis ‘Kalau nak ambik rumah aku langkah mayat aku dulu’ katanya sambil memegang pegang samurai. Kalau camni memang masalah besar. Yelah, orang dok kutip duit sebagai tuan rumah sewa, kita dok habis duit nak halau bekas tuan rumah sewa.

Nak ceritanya, Selasa lepas ada lelongan awam kat Jalan Raja Chulan. Aku minat dengan satu lot kat Puncak Alam. 35% di bawah MV. Lelong kali ketujuh. So Sabtu sebelum, aku pergi la tinjau rumah tu. Mula-mula aku pergi pejabat pengurusan check maintenence. Wah sudah bagus, hutangnya sikit aje. Biasa rumah kat situ hutang maintenence dalam 3 – 4K. Tapi pelik gak sebab apa jadi camtu. So aku pergi la ke rumah nak dilelong tu. Lokasi cantik dekat dengan pintu utama. Dekat dengan pondok pengawal. Berdepan lak dengan sekolah kebangsaan baru yang akan dibuka tahun depan. Siap dengan grill lagi. Tapi pelik sebab aku tengok rumah tu ada penghuni. Aku belek dua tiga kali POS lelong tu betul ka. Ya comfirm betul.

Aku ketuk pintu. Pintu dibuka. Rupanya India sekeluarga laki bini, anak dua orang sorang tingkatan 3 dan sorang darjah 4. Aku cool sembang dengan dia. Keluarga ni pun ok gak. Siap speaking mat saleh campuran lagi dengan aku. Rupanya memang betul rumah tu nak lelong. Macam-macam aku sembang. Layanan mulut depa cukup baik. Rumah tu tak bayar bank dah setahun sebab tok laki berhenti kerja sebelum ni. Tapi sekarang dah kerja. Bini pun kerja juga. Syok la no duduk free setahun rumah tu.

Lastnya family tu setuju kalau aku bida rumah diorang. ‘Tapi kalau u menang, u mesti sewa kat kat i’. Depa nak sewa dengan aku. Aiii fikir panjang gak aku. Kalu hutang bank pun tak bayar, takkan sewa aku nanti yang sama dengan installment bank tu depa boleh bayar gak ka. Depa bagi jaminan bayar. Positifnya, kalau aku bida dan menang aku tak payah buat iklan, dah ada penyewa. Aku juga tak payah fikir tentang hutang maintenence, air api cukai tertunggak atau nak pasang grill dan lampu. Semua dah ada. Ikut biasa paling kurang jimat 7K tu. Lagi menarik, dia nak sewa mulai bulan depan. Aiyaa biar betul. Ni kes untung empat lima bulan awal kalau jadi. Yela rumah belum tukar nama loan belum beres, duit sewa orang dah nak hulur.

Dua hari fikir. Fikir baik buruk. Tanya otai-otai hartanah. Keputusannya, aku setuju ke Jalan Raja Chulan Selasa. Lantas bila auction hammer diketuk tengah hari tu, aku diumumkan pemenangnya. ‘Sold’!